Thursday, 25 March 2010

Abu Hurairah r.a

Kelahiran dan riwayat hidup beliau:
- Nama penuh beliau ialah Abdul Rahman bin Sakhrin Ad-Dausiy.
- Beliau dibesarkan dalam keadaan yatim dan beliau pernah bekerja mengambil upah dengan Bisrah binti Ghazwan.
- Beliau dilahirkan di Yaman di dalam sebuah keluarga yang fakir dan tidak mempunyai kaum keluarga kecuali ibu beliau.
- Pada zaman jahiliah beliau bernama Abdul Syams.
Pengislaman beliau:
- Beliau memeluk Islam melalui At-Tufail bin Amru Ad-Dausiy dan beliau terus menetap di Yaman di dalam kaum beliau (Kaum Daus) malah beliau tidak pernah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w di Madinah kecuali selepas enam tahun setelah berlaku peristiwa Hijrah.
- Rasulullah s.a.w menamakan beliau dengan Abdul Rahman, walau bagaimanapun baginda sering memanggil beliau: "Wahai Abu Hirr!".
- Sebab beliau dipanggil dengan Abu Hurairah ialah kerana pada masa kecil beliau mempunyai seekor kucing kecil sebagai teman permainan beliau menyebabkan kawan-kawan beliau memanggil beliau dengan panggilan: Abu Hurairah.
Beliau diberi penghormatan menjadi pembantu Nabi:
- Selepas Abu Hurairah memeluk Islam, beliau hanya menghabiskan masa beliau untuk menemani Nabi s.a.w dan melayan baginda.
- Abu Hurairah menyeru ibu beliau supaya memeluk Islam, lalu ibu beliau menyahut seruan tersebut dengan memeluk Islam selepas Rasulullah s.a.w berdoa untuknya. Abu Hurairah banyak berbakti kepada ibu beliau.
- Abu Hurairah sentiasa tinggal di As-Suffah (sebuah tempat yang terdapat di masjid Rasulullah yang dikhususkan sebagai tempat tinggal para sahabat yang miskin). Beliau sentiasa bersama-sama dengan Nabi s.a.w walau di mana baginda berada dan tidak pernah berpisah dengan baginda menyebabkan beliau dapat menghafal hadis dengan jumlah yang terlalu banyak, lebih-lebih lagi selepas Rasulullah s.a.w berdoa kepada beliau supaya tidak melupakan ilmu yang didapati.
- Abu Hurairah telah menghafal sebanyak lebih dari 1,600 buah hadis daripada Rasulullah s.a.w dan beliau pernah berkata: "Aku sibuk menghafal sedangkan saudara-saudara aku dari kalangan Muhajirin sibuk dengan perniagaan mereka manakala saudara-saudara aku dari kalangan Ansar pula sibuk dengan pertanian mereka.
Kesukaan beliau terhadap ilmu:
- Abu Hurairah terlalu sukakan kepada ilmu malah beliau juga suka sekiranya ilmu dipelajari oleh orang lain sehingga sampai ke peringkat beliau pergi berjumpa dengan orang ramai yang berada di sebuah pasar di Madinah lalu beliau berkata kepada mereka: "Kamu duduk di sini sedangkan pusaka Nabi s.a.w dibahagikan di masjid, apakah halangan kamu?" Mendengar kata-kata tersebut orang ramai terus pergi ke masjid, mereka mendapati tidak ada apa-apa yang berlaku di sana kecuali orang-orang yang mendirikan sembahyang, membaca kitab suci Al-Quran dan orang-orang yang duduk di dalam majlis pengajian ilmu. Mereka semua merasa hairan terhadap Abu Hurairah lalu beliau berkata kepada mereka: "Itulah pusaka Nabi s.a.w."
- Ketika harta semakin bertambah banyak dan kebaikan mula melimpah ruah serta harta rampasan perang sentiasa dapat diraih hasil dari pembukaan kawasan Islam, kehidupan Abu Hurairah mula berubah di mana beliau mula memiliki harta, rumah, kekayaan, isteri dan anak-anak. Walaupun begitu, kesukaan beliau terhadap ilmu, tawaduk beliau, kerajinan beliau melakukan ibadat, kesungguhan beliau dan ketaatan beliau sedikitpun tidak berubah.
Kewarakan dan ketakwaan beliau:
- Pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufian, Abu Hurairah dilantik menjadi gabenor di Madinah. Walaupun demikian jawatan tersebut tidak mempengaruhi kewarakan dan ketakwaan beliau walaupun sedikit malah beliau sentiasa berpuasa pada waktu siang dan beribadat pada waktu malam.
- Abu Hurairah r.a sering menyebut kata-kata beliau: "Aku dibesarkan dalam keadaan yatim, aku berhijrah dalam keadaan miskin, aku pernah bekerja mengambil upah dengan Bisrah binti Ghazwan dengan bayaran sekadar cukup untuk mengisi perut aku. Aku membantu orang ramai ketika mereka turun dari binatang tunggangan dan aku mengangkat barangan mereka ketika mereka menunggang. Lalu Allah mengahwinkan aku dengannya (iaitu Bisrah binti Ghazwan). Oleh yang demikian segala puji bagi Allah yang menjadikan agama dapat berdiri tegak dan menjadikan Abu Hurairah sebagai seorang pemimpin."

Sunday, 7 March 2010

Al-Farabi

Digelar Aristotle kedua.
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.

Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).

Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.

Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.

Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.

Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur.

Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.

Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.

Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.

Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.

Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.

Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.

Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.

Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".

Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.

Al-Farabi juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.

Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu perubatan di zamannya.

Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.

Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku pada hari ini.

Akhlak penentu darjat kemuliaan manusia

AKHLAK adalah mutiara yang sangat bernilai dan penting bagi manusia. Ia mempunyai harga dan cahaya yang menambahkan kecantikan. Tanpa akhlak, manusia hilang harga diri dan tidak dihormati.

Dalam tradisi Islam, akhlak tidak sama dengan moral. Moral, bahasa latinnya 'mores' membawa makna nilai amalan yang normatif atau lazim berlaku dan menjadi amalan semasa.

Akhlak mempunyai makna lebih luas iaitu zahir batin yang merujuk kepada 'Khuluq al-Quran' atau 'akhlak al-Quran'. Ia menjadi rujukan akhlak Nabi Muhammad SAW seperti disebutkan isterinya Saidatina Aishah.

Moral biasanya amalan serta penampilan baik dilakukan dan sifatnya berubah-ubah. Amalan gay dan lesbian yang berlaku di Barat suatu ketika dulu dianggap salah, tetapi hari ini ia sudah diterima sebagai sesuatu yang lazim.

Akhlak berasaskan al-Quran membawa nilai yang tetap dan fitrah kerana Islam menjaga kemaslahatan manusia di mana asas kesejahteraan menjadi kuncinya. Meminum arak, berjudi, bertenun nasib, berzina umpamanya adalah amalan tidak berakhlak.

Pedoman al-Quran itu tidak akan berubah disebabkan faktor masa dan zaman kerana ia berkaitan pekerti buruk yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup manusia walaupun majoriti manusia memilih jalan itu.
Akhlak dalam tradisi Islam tidak difahamkan dengan maksud yang terbatas melalui penampilan tingkah laku, budi bahasa dan tutur kata saja. Ia sebenarnya berkait dengan komitmen amal seseorang.

Apabila akhlak Rasulullah SAW digambarkan sebagai akhlak al-Quran, ia bermakna ajaran al-Quran itu hidup pada diri, cerminan pada peribadi dan amalannya. Akhlak al-Quran tidak saja mengajar umat beriman mengenai tauhid dan takwa, tetapi menampilkan watak amali mendukung makna tauhid dan takwa dalam amalan serta perbuatan.

Tauhid mendidik manusia yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Perkasa, Dialah Pencipta dan Pentadbir Alam ini. Jika ada manusia mempunyai pendirian bahawa dirinya maha berkuasa, penentu akan segala, maka terlihat pada dirinya ialah sifat zalim, angkuh dan sombong yang bercanggah dengan akhlak Islam.

Takwa memberi makna mengenai insaf-ketuhanan yang tinggi dan ukuran kepada kecemerlangan amal. Al-Quran dalam surah al Hujurat, ayat 13, memberikan asas bahawa, "kemuliaan manusia itu berlandaskan takwa."
Insaf-ketuhanan adalah kunci perlakuan seseorang. Apabila manusia bertakwa ingin melakukan sesuatu dan meyakini bahawa orang lain tidak melihatnya, tetapi Allah melihatnya, pada dirinya sudah wujud daya kawalan dan pedoman menyebabkan ia berada dalam sikap serta pendirian terpandu. Natijah perbuatan dan amalannya akan menjadi baik dan memberi kesejahteraan kepada yang lain.

Akhlak Rasulullah SAW terlihat pada kesabaran dan jihad ilmunya yang tinggi. Seorang perempuan Yahudi yang berasa tidak senang dengan Rasulullah SAW yang membawa risalah tauhid membalingnya dengan sampah setiap kali Rasulullah SAW lalu depan rumahnya.

Ia membayangkan kebencian amat sangat terhadap diri Rasulullah SAW yang membawa risalah kebenaran. Rasulullah SAW sabar menghadapi kerenah itu kerana hakikatnya ia tidak tahu maksud risalah yang dibawa.

Suatu hari perempuan itu sakit dan tidak lagi membaling sampah apabila Rasulullah SAW lalu di hadapan rumahnya. Rasulullah SAW berhenti di rumah jiran perempuan itu dan bertanya khabar mengenai dirinya. Lalu dikatakan beliau sedang sakit.

Rasulullah SAW meminta izin menziarahinya. Amat terkejut perempuan Yahudi itu terhadap pekerti mulia seorang manusia yang amat dibencinya menziarahi ketika dirinya sakit. Akhlak Rasulullah SAW memikat perempuan Yahudi itu lalu memeluk agama Islam.

Akhlak Rasulullah SAW juga terlihat dalam binaan jemaah di Madinah dan mengendali halaqah untuk menyebarkan kefahaman serta amalan mengenai ilmu al-Quran. Walaupun Rasulullah SAW seorang yang buta huruf, komitmen terhadap ilmu begitu besar sekali.

Islam perlu didukung dengan kekuatan ilmu. Al-Quran adalah sumber ilmu daripada Allah untuk memberi petunjuk kepada manusia khususnya orang yang bertakwa.

Amal Islami tanpa dukungan ilmu menjadikan Islam longgar dan kosong. Diturunkan wahyu kepada manusia menjadikan manusia terpedoman dan memiliki petunjuk memahami hakikat sesuatu yang nyata dan mengetahui mengenai yang ghaib.

Oleh itu, kepentingan akhlak bagi manusia ibarat mutiara yang sangat berharga. Hari ini mutiara itu semakin hilang. Tingkah laku manusia sudah menjadi kaca dan pasir yang tidak memberi cahaya lagi. Faham diri dan individualistik menjadi nyata dan fahaman kebendaan, nafsu-nafsi menjadi ikutan.

Manusia akhirnya bakal kehilangan cahaya dan perlakuan manusia tidak lebih lanjutan sifat haiwani yang hidup kerana perut dan nafsu. Yang lahir daripada perut itu adalah gambaran yang diburu dan dicari tanpa pertimbangan akhlak yang membawa kemuliaan manusia di sisi Penciptanya dan kemuliaan manusia sesama manusia.

Akhlak adalah cerminan diri kerana daripadanya manusia memiliki contoh dan teladan. Ibarat cermin yang bersih dan berkilau, manusia mampu melihat diri dengan jelas. Pantulan wajahnya mampu memperlihatkan dirinya secara telus.

Cermin yang berdebu dan hilang kilauannya menyebabkan kekaburan pada wajah dan diri. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang boleh diteladani kerana memang fitrah manusia ingin meneladani contoh yang baik daripada orang lain.