Friday 19 August 2011

MANUAL USRAH MANHAJ QURANI (MQ)


1. PENDAHULUAN

              Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa hidayah petunjuk kebenaran serta memberi pertolongan kepada hamba-hamba-Nya, dapat kami menyiapkan satu set buku panduan usrah “Manhaj Qurani” yang diterbitkan dalam enam siri.
           
 Majlis Pelancaran Buku Sukatan Usrah Oleh YB Dato Hj Muhammad Amar bin Abdullah Di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan(YIK)

            Manual Panduan Usrah Manhaj Qurani(MQ) ini disediakan adalah untuk memudahkan dan memberi panduan kepada para Naqib/naqibah dalam melaksanakan usrah
 dan memberi tarbiah kepada para mad’u dengan memuatkan asas-asas penting yang berkaitan dengan usrah sebagai cadangan kepada para naqib/naqibah.

2.Difinisi Usrah

            Dari segi bahasa, usrah bererti keluarga. Manakala dari segi istilah pula bererti satu kumpulan yang dianggotai oleh beberapa orang individu muslim yang beriman kepada Allah s.w.t yang diikatkan dengan pertalian akidah islamiah, berusaha tolong menolong antara satu sama lain untuk memahami Agama Islam yang mulia serta menghayatinya dan cuba mewujudkan “biah solehah”

3. SEJARAH USRAH

            Pada peringkat awal permulaan da'wah Islamiyah, Rasulullah SAW yang telah bermula dengan seorang diri. Lalu ia dikongsikan dan disebarkan kepada keluarganya terdekat, bermula dengan Khadijah r.ha, isteri Baginda s.a.w sendiri dan sepupu Baginda Ali r.a .Selain dari itu, beberapa sahabat Rasulullah yang tedekat juga telah disampaikan dengan risalah agung ini, contohnya Abu Bakar al-Siddiq dan datang daripadanya pula Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf r.hum. dan lain-lain lagi.

            Zaman awal tersebut merupakan suatu zaman yang tertumpu kepada penjernihan fikrah; penjernihan aqidah Islam kepada yang tulen. Rasulullah s.a.w pada ketika itu banyak berjumpa dan mengajar sahabat-sahabatnya yang baru memeluk Islam, tetapi suasananya penuh dengan kerahsiaan. Sebabnya mudah; kaedah da'wah yang dilakukan adalah da'wah fardiyah dan setiap orang ingin menjaga keselamatan masing-masing.

            Ayat-ayat yang paling awal diturunkan pula pendek-pendek. Mesejnya jelas. Setiap hentian membawa seseorang kepada memikirkan keindahan ayat-ayat tersebut. Rentaknya pula sangat kena dengan hati yang berkarat, yang dipenuhi dengan anasir jahiliyah. Apa yang kita dapat perhatikan ialah kebanyakan ayat tersebut berada di dalam bahagian Mufassal al-Qur'an (dari Qaf, 50 hingga an-Nas, 114). Isinya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan pemikiran manusia dari cengkaman keindahan hidup yang merosakkan, agar mereka mengetahui tujuan hidup mereka, ke mana mereka akan dikembalikan, siapakah tuhan mereka dan persoalan-persoalan asasi yang perlu diketahui oleh seorang hamba.

               Dalam konteks tersebut, Rasulullah s.a.w telah membuat pertemuan-pertemuan di rumah beberapa sahabat. Antara yang paling masyhur sekali kisahnya ialah pertemuan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Satu majlis yang kecil yang terdiri daripada beberapa orang sahabat tertentu dibuat untuk membenihkan nilai-nilai Islam ahlinya. Tetapi, pada ketika itu ia tidak disebut sebagai usrah.

               Selepas berlalunya zaman tersebut, Islam kembali menjadi asing. Suatu janji yang disebutkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w :
بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيْبًا وَسَيَعُودُ غَرِيْبًا                                                         
رواه مسلم
"Islam datang dalam keadaan gharib (asing) dan akan kembali menjadi gharib (asing)..."

Dan kita melihat jahiliyyah kembali berleluasa, ia berlaku dengan lebih rancak lagi setelah kejatuhan Khilafah Islamiyah yang terakhir pada tahun 1924M.

            Hassan al-Banna (1906-1949) yang menyedari hakikat ini telah memulakan usaha-usaha untuk mengembalikan sistem Khilafah tersebut. Antara perkara yang diperhatikan ialah bagaimana institusi keluarga telah gagal di dalam membentuk peribadi muslim yang tulen. Ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah Islamiyah yang betul. Maka dari situ, lahirlah satu sistem yang mengumpulkan orang-orang yang ingin berubah dan mengubah di dalam satu kumpulan khusus bernama usrah.

4. MATLAMAT DAN TUJUAN USRAH

Usrah merupakan suatu perkara yang penting dalam proses tarbiah kerana ia berfungsi sebagai satu medium untuk menjayakan matlamat pendidikan dan menjadikan setiap individu muslim patuh dan iltizam dengan perintah Allah s.w.t. Antara tujuan dan matlamat utama usrah ialah :

  • Mendekatkan individu muslim kepada Allah Azza Wajalla.
  • Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab anggota usrah terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jemaah.
  • Meningkatkan Thaqafah Islamiah dan dapat mengetahui sikap Islam terhadap satu-satu isu yang berlaku.
  • Mewujudkan “Biah Islamiah” dalam kalangan pelajar sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
  • Menghubungkan anggota usrah secara langsung dengan al-Quran dan al-Sunnah.
  • Membina satu generasi al-Quran yang beramal dengan ajaran Islam secara menyeluruh serta menghayatinya dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat.
  • Melahirkan modal insan mempunyai Thaqafah Islamiah serta mampu untuk membimbing diri sendiri, rakan sebaya, keluarga, masyarakat dan bekerja untuk Islam.


5.RUKUN USRAH

            Usrah tidak dapat dijalankan dengan baik dan mencapai matlamat yang digariskan melainkan setiap ahli usrah perlu memelihara 3 perkara penting usrah iaitu:
  • Al-Ta’aruf      -           Saling kenal mengenali
  • Al-Tafahum   -           Saling faham memahami
  • Al-Takaful      -           Saling bantu membantu

Rukun Pertama : Al-Ta’aruf
Al-Ta’aruf bermaksud saling kenal mengenali antara ahli usrah sehingga menimbulkan perasaan kasih sayang yang mendalam kepada saudaranya yang seagama. Kasih sayang yang dinamakan sebagai al-Hubbu fillah ( الحب فى الله ). Firman Allah s.w.t :
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”
                                                                                    (al-Hujurat : 10)

Dan sabda Rasulullah s.a.w bersabda :
تَرَى الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِم وَتَرَاحُمِهِمْ مِثْلُ الْجَسَدِ ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
( رواه البخاري والمسلم )
“Kamu melihat orang-orang mukmin itu berkasih-sayang seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota badannya sakit, nesacya anggota-anggota yang lain turut merasainya dengan berjaga malam dan demam”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian, setiap ahli usrah naqib/naqibah dan mad’u hendaklah mengenali saudara mereka dengan mendalam seperti nama, latar belakang keluarga, tempat tinggal, pengalaman, kecenderungan, minat dan sebagainya yang dapat mewujudkan satu suasana kekeluargaan yang harmonis.

Rukun Kedua : Al-Tafahum

            Al-Tafahum bermaksud mewujudkan sikap saling faham memahami dalam kalangan ahli usrah yang akhirnya dapat melahirkan keselarasan dari segi sikap, pendirian, tindakan dan amalan dalam melaksanakan ajaran Islam yang syumul.

            Persefahaman yang baik dalam kalangan ahli usrah dapat menghindarkan perasaan buruk sangka, iri hati, dendam dan hasad dengki dan sekali gus dapat memupuk sikap-sikap yang positif seperti hormat menghormati dan berkasih esame.
Oleh itu, Naqib dan naqibah hendaklah sentiasa memainkan peranan pro aktif dalam menerapkan nilai nilai murni kepada ahli dengan cara bermuhasabah dan nasihat menasihati sesama ahli. Firman Allah SWT yang bererti :

yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”
(al-Asr :1-3)

Rukun Ketiga : Al-Takaful

Al-Takaful bermaksud bantu membantu dan merupakan satu sikap mulia yang perlu diamalkan oleh setiap ahli usrah. Setiap ahli hendaklah sentiasa mengambil tahu keadaan setiap ahli yang lain dari kesihatan, kewangan dan apa jua masalah yang mungkin menimpa ahli yang lain. Perkara ini dapat dilaksanakan dengan cara bertanya khabar dan menziarahi mana-mana ahli yang menghadapi masalah.

Sesungguhnya ini akan melahirkan suasana yang baik dan memberi kesan  di kalangan ahli. Malah mereka merasakan diri mereka sentiasa dihargai dan diperlukan oleh setiap ahli usrah yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w :
مَنْ أدْخَلَ الْسُّرُورَ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ لَمْ يَرَاللهُ جَزَاءً دُونَ الجَنَّةِ
“Barang siapa yang memasukkan kegembiraan ( menghilangkan kesusahan dan kesukaran ) kepada keluarga muslim, nescaya Allah s.w.t tidak menentukan balasan kepadanya selain syurga”

6. ADAB-ADAB USRAH
  • Mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya yang bererti :
“ Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”
(al-Bayyinah : 5)
  • Berazam untuk memperolehi ilmu dan beramal dengan ilmu yang diperolehi. Sabda Rasulullah s.a.w :
كُونُوا لِلْعِلْمِ رُعَاةً وَلاَ تَكُونُوا لَهُ رُوَاةً
“Jadilah kamu orang yang memelihara ilmu dan
janganlah kamu jadi orang yang meriwayatkan ilmu”
(Hadith riwayat Abu Nuaim)
  • Setiap ahli usrah hendaklah sampai ke tempat usrah tepat pada waktu yang dijanjikan. Sebarang kelewatan dan keuzuran hendaklah dimaklumkan kepada naqib/naqibah.
  • Setiap ahli hendaklah terlebih dahulu membaca dan cuba memahami teks usrah yang akan dibincangkan.
  • Bersedia mengikuti peraturan dan arahan. Sabda Rasulullah s.a.w :
لاَ إِْسْلاَمَ إِلاَّ بِجَمَاعَةٍ وَلاَجَمَاعَةَ إِلاَّ بِقِيَادَةٍ وَلاَ قِيَادَةَ إِلاَّ بِطَاعَةٍ
“Tidak ada Islam tanpa jemaah, tidak ada jemaah tanpa
kepimpinan, dan tidak ada kepimpinan tanpa ketaatan”
  • Memberi salam dan meminta izin setelah sampai ke tempat usrah. Firman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat
(mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)”
(al-Nur :27)

  • Memulakan majlis dengan pujian kepada Allah s.w.t selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w, kemudian diikuti dengan bacaan al-Quran.
  • Setiap ahli yang datang ke majlis usrah hendaklah dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih-sayang kerana Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w :
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله وسلم إِنَّ اللهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
 أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلاَلِي اليَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِى ظِلِّي يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلِّي
                                        (رواه مسلم)
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman pada hari qiamat: Manakah orang-orang yang saling cinta mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini, Aku berikan Naungan-Ku kepada mereka iaitu pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku sendiri”
(Riwayat Muslim)
  • Berbincang dengan suara yang rendah sekira-kira dapat didengari dan difahami oleh angota yang hadir. Seboleh-bolehnya jauhi daripada ketawa  dan bergurau secara berlebihan.
  • Mewujudkan suasana ukhuwah islamiah. Berbincanglah dengan suasana yang harmoni serta bersikap terbuka untuk menerima pandangan orang lain.
  • Hendaklah memberi teguran yang membina dan bukannya berniat untuk menjatuhkan maruah atau mempersendakan mana-mana individu. Sabda Rasulullah s.a.w :
إِنَّ اللهَ أَوْحَى إِلَيَّ أَنْ تَوَاضَعُوا حَتَّى لاَ يَفْخَرَ أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ وَلاَ يَبْغِى أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ
“Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku supaya kamu bertawaduk, sehingga tidak bermegah oleh seseorang di kalangan kamu ke atas seorang yang lain dan tidak melampau oleh seseorang di kalangan kamu ke atas seorang yang lain”
(Riwayat Muslim)
  • Jauhkan dari mengumpat, mengata dan mencaci mana-mana peribadi atau pertubuhan.
  • Akhiri majlis dengan membaca Tasbih Kaffarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menhayati maknanya. Sabda Rasulullah s.a.w :
عن أبي بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ قال كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله وسلم يَقُولُ بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنَ الْمَجْلِسِ
سُبْحَانَكَ اللهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللهِ
إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلاً مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيْمَا مَضَى فَقَالَ كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِى الْمَجْلِسِ
“Dari Abu Barzah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda di akhir ketika Baginda s.a.w hendak berdiri dari majlis yang bererti : “Maha Engkau ya Allah dan aku mengucap pujian-pujian kepada-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Engkau, aku memohon keampunan dan taubat dari-Mu”. Kemudian seorang lelaki berkata :Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Tuan mengucapkan satu ucapan yang belum pernah Tuan ucapkan sebelum ini”. Baginda s.a.w bersabda: “Yang demikian itu adalah sebagai kaffarah (penebus) dari apa saja( kekurangan atau kesalahan yang terdapat dalam majlis itu ).
(Riwayat Imam Abu Daud,dan juga daripada Imam Hakim dalam Kitab al-Mustadrak dari riwayat Aisyah r.ha dan mengatakan hadis ini sahih isnadnya)


7. PELAKSANAAN USRAH
  • Usrah diadakan setiap satu minggu sekali atau tiap-tiap dua minggu sekali dan merupakan program tarbiah yang tetap.
  • Majlis usrah dikendalikan oleh seorang atau dua orang naqib/naqibah yang dipimpin oleh guru( murabbi ).
  • Guru-guru pembimbing akan diselia oleh seorang ketua (mursyid).
  • Penentuan naqib/naqibah adalah seperti berikut:

i.              Usrah Pelajar Biasa

NAQIB/NAQIBAH
MAD’U
Tingkatan 3
Tingkatan 1
Tingkatan 4
Tingkatan 2
Tingkatan 5
Tingkatan 3
Tingkatan 6
Tingkatan 4
Guru*
Tingkatan 5*
Guru*
Tingkatan 6*

*Usrah Tingkatan 5 dan 6 dikendalikan oleh guru secara usrah umum dan dibahagikan kumpulan-kumpulan kecil daripada kumpulan besar tersebut. Naqib/naqibah akan meminta wakil dari setiap kumpulan untuk membuat pembentangan pada setiap kali usrah diadakan.
           
ii.            Usrah Nuqaba’

NAQIB/NAQIBAH
MAD’U
Tingkatan 5
Tingkatan 3
Tingkatan 6
Tingkatan 4
Guru
Tingkatan 5
Guru
Tingkatan 6


  • Setiap kumpulan usrah dianggotai oleh 7 – 10 orang ahli. Setiap kumpulan usrah hendaklah melantik seorang ketua dan bendahari.
  • Setiap kumpulan usrah perlu mempunyai buku maklumat yang mengandungi :
i.              Nama ahli usrah.
ii.            Nama ketua
iii.           Nama Bendahari
iv.           Rekod kehadiran
v.            Rekod bayaran tabung usrah
vi.           Skop perbincangan
vii.          Tarikh dan masa
viii.        Tempat
ix.           Catatan
  • Menggunakan teks usrah MQ dan beberapa buku rujukan jika perlu.
  • Naqib/naqibah menetapkan silibus usrah yang akan dijalankan kepada semua ahli sebagai persediaan sebelum majlis usrah berlangsung. Sebaik-baiknya naqib menentukan siapakah ahli yang dipertanggungjawabkan untuk membentangkan isi usrah.
  • Setiap hadith 40 dari buku MQ hendaklah dihafaz oleh naqib/naqibah atau ahli sebelum usrah dijalankan.
  • Setiap ahli hendaklah memberi perhatian dan membuat catatan isi perbincangan usrah.
  • Setiap sesi usrah mestilah diakhiri dengan kesimpulan atau rumusan oleh naqib/naqibah.
  • Pengisian bahan usrah adalah seperti berikut :

1
Muqaddimah / bacaan al-Quran
 5 minit
2
Pembentangan Hadith 40
10 minit
3
Pembentangan sirah / maza ya’ni
10 minit
4
Perbincangan bahan usrah / isu
30 minit
5
Kesimpulan
5 minit


60 minit

8. HALANGAN-HALANGAN PELAKSANAAN USRAH DI SEKOLAH
  • Kekurangan naqib/naqibah.
  • Naqib/naqibah yang kurang pengalaman dan tidak mempunyai persediaan yang mencukupi.
  • Pemilihan masa yang tidak sesuai.
  • Tidak mendapat sokongan dari semua pihak.
  • Anggapan bahawa usrah hanya perkara sampingan dan tidak penting kepada pelajar. Bahkan ada juga yang beranggapan bahawa usrah adalah salah satu faktor yang boleh mengganggu dan menyumbangkan kegagalan seseorang pelajar dalam peperiksaan.
9. PRA-SYARAT SEORANG NAQIB/NAQIBAH

  • Mempunyai ilmu syarak yang mencukupi supaya boleh mengenali yang mana halal dan yang mana haram.
  • Faham dan nyata fikrah harakah Islamiah dari segi matlamat dan uslubnya.
  • Iltizam yang sempurna dengan perintah dan larangan syarak supaya dapat menjadi qudwah hasanah secara amali kepada ahli usrah.
  • Patuh kepada arahan yang telah diputuskan.

9. TUGAS DAN PERANAN NAQIB/NAQIBAH

            Naqib/naqibah bertanggungjawab dalam memastikan ketiga-tiga rukun usrah tercapai. Oleh itu, cubalah saudara ikhwan perhatikan beberapa cadangan dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh naqib/naqibah :
  • Pastikan setiap mad’u bersedia dengan segala keperluan usrah seperti al-Quran, teks usrah “Manhaj Qurani(MQ)”, buku catatan dan nota-nota yang berkaitan (jika perlu). Pastikan mad’u dapat membaca al-Quran dengan betul.
  • Memastikan mad’u dapat menghafal setiap hadith 40 yang dibincangkan.
  • Mewujudkan “Biah Solehah” dalam kalangan mad’u.
  • Menggalakkan tolong menolong dalam kebajikan dan takwa.
  • Menjalankan sesi muhasabah terhadap mad’u. Gunakan kebijaksanaan semasa muhasabah dan terapkan nilai-nilai mulia dan terpuji (mahmudah) serta cuba latih mad’u untuk menhindari sifat-sifat tercela (mazmumah).
  • Melatih mad’u supaya istiqamah dengan amalan rutin yang wajib sebagai ahli usrah/jemaah seperti bacaan al-Quran, wirid-wirid( mathurat dll ), menghafaz surah-surah dan hadith 40 dari “Manhaj Qurani” mengikut ketetapan yang diberikan sebelum pertemuan usrah.
  • Mencadangkan dan menggalakkan mad’u membaca buku-buku, majalah-majalah tertentu untuk menambahkan thaqafah islamiah dalam kalangan ahli usrah.
  • Menyelesaikan masalah anggota usrah secara peribadi atau masalah amal jamai’e dengan ruh Ukhuwah Islamiah.
  •  Mencungkil bakat-bakat terpendam yang ada dalam kalangan ahli usrah.
  • Usahakan supaya kumpulan usrah mempunyai tabung yang akan dipungut pada setiap kali pertemuan. Jumlah kutipan bergantung kepada persetujuan ahli usrah walaupun sedikit.
  • Hidupkan suasana usrah yang ceria supaya usrah lebih berjaya dan menyeronokkan. Sekali sekala naqib/naqibah dicadangkan untuk membawa mad’u berusrah di luar kawasan sekolah.
  • Naqib/naqibah bertanggungjawab untuk mengembang dan mengikuti perkembangan kemajuan syakhsiah mad’u. Justeru, naqib/naqibah hendaklah mempunyai buku diari anggota usrah yang mencatatkan segala maklumat ahli usrah. Ini membolehkan naqib/naqibah mengenali kebolehan, keistimewaan dan komitmen mad’u.
10. KESIMPULAN
            Sesungguhnya usaha yang murni ini perlu mendapat sokongan daripada semua pihak seperti pihak pentadbir sekolah, ibubapa, para guru dan juga pelajar. Usrah adalah salah satu wadah yang dilihat dapat membantu dan mendidik para pelajar dan juga masyarakat dalam menghayati ajaran Islam yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan ramai pemimpin Islam yang digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan lahirnya melalui proses tarbiah usrah yang tersusun.
            Semoga mereka yang melalui dan mengikuti usrah ini dapat menghadapi cabaran zaman yang semakin hebat dan tidak berkesudahan seterusnya dapat mencapai dan merealisasikan apa yang telah menjadi moto kepada buku Manhaj Qurani ini iaitu “Membina Generasi al-Quran”.


http://hisyamalkhalifah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment