Saturday 30 July 2011

KU MENUNGGU BULAN YANG PALING MULIA BULAN RAMADHAN AL MUBARAK

Allahumma Ballighna Ramadhan!
Allahumma Ballighna Ramadhan!
Allahumma Ballighna Ramadhan!

AMALAN DALAM BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK


Pagi

1. Sembahyang sunat subuh dan fardu subuh, kemudian wirid biasa serta doa sesudahnya .
2. Berzikir
3. Tasbih – 100 kali dikurniakan sepuluh ribu kebajikan, dihapuskan sepuluh ribu kejahatan, diangkat sepuluh ribu darjat .
4. Selawat sekurang-kurangnya 10 atau 100 kali
5. Sembahyang sunat :
·    Sembahyang sunat Dhuha
·    Sembahyang sunat Tasbih
·    Membaca Al-Quran
·    Membaca doa taubat Akasyah (memohon keampunan taubat dosa-dosa besar )

Tengah Hari

1. Sembahyang : Sunat Zohor – Fardu Zohor – sunat Zohor serta doa .
2. Istighfar & Istighfar untuk Ibubapa – 70 kali atau 100 kali

Petang

1. Sembahyang : Sunat Asar –Fardu Asar – wirid/doa
2. Zikir sebanyak yang boleh
3. Tasbih
4. Bertakbir
5. Selawat 10 atau 100 kali

Maghrib

1. Berbuka puasa – Sembahyang Maghrib dan sunat Maghrib
2. Sembahyang sunat Awwabin
3. membaca “Tiada suatu daya dan tiada suatu kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung .”(baca dalam bahasa Arab)

Isyak

1.  Sembahyang sunat Isyak–Fardu Isyak-Sunat Isyak
2. Sembahyang sunat Terawih – sunat Witir
3. Membaca Al-Quran

Tengah Malam

Jam 2.00 malam atau 3.00 malam hingga keluar fajar subuh .
1.  Sembahyang sunat wuduk
2.  Sembahyang sunat Tahajjud ( 2 atau 4 atau 6 atau 8 atau 12 rakaat ) dan berdoa .
3. Sembahyang sunat Hajat ( memohon sesuatu hajat ) dan berdoa
4.  Sembahyang sunat Tasbih dan doa
5.  Berzikir ( di dalam hati nurani / ingatan sebanyak-banyaknya )
6.  Membaca Tasbih istighfar 100 kali atau 70 kali
7.  Membaca Tasbih dan zikir majmuk ( sebanyak 100 kali )

Setelah masuk waktu subuh dan setelah azan subuh, sembahyang sunat Subuh/Fajar dua rakaat, sebelum sembahyang Subuh ( antara azan dan sembahyang fardu subuh ), bacalah istighfar tasbih 100 kali dan kemudain berdoa, kerana ini termasuk waktu mustajab doa-antara azan (bang) subuh dengan sembahyang subuh iaitu bertasbih dan memohon keampunan (kalau sempat waktunya) .

Bersedekah

Bersedekah setiap hari pada bulan Ramadhan, tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadhan .

Bersedekahlah pada bulan puasa menutup kesalahan puasa, diampunkan dosa, berlipatganda yang paling banyak pahalanya .

Dicurahkan rahmat Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan syurga, terjatuh dari bala .

Peringatan

1. Awas, singkirkanlah jauh-jauh perasaan ‘ujub,ria’ , takbur, sum’ah, hasad dengki, perkelahian – itulah racun dalam amalanmu, yang akan menghapuskan amalanmu kerananya .

2. Kalau tidak dapat diamalkan semua, janganlah tinggalkan semuanya, menurut sejauh mana lemah dan kuatnya iman pada dirimu .

3. Bawalah dan teruskanlah amalan ini sehingga di luar bulan Ramadhan, menjadi amalanmu seharian .

4. Sehari demi sehari umur kita kian menghujung, demi untuk mencapai keredhaan Allah semata-mata .

5. Insya-Allah akan tergolong kita ke dalam golongan hamba-hamba Allah yang solehin .

MENGHORMATI GURU RAIH KEBERKATAN


Menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam.  Kelahiran Rasulullah s.a.w bersama suluhan wahyu telah berjaya mengangkat umat manusia ke arah tamadun yang tinggi berteraskan nilai material dan kemanusiaan. Melalui al-Quran banyak ditekankan mengenai kelebihan orang yang berilmu, begitu juga melalui rangsangan hadis nabi yang menyeru agar kita menyelamatkan diri kita daripada belenggu kejahilan. Apa yang mesti kita sedar dalam menimba ilmu pengetahuan ialah mengenai adab yang mesti kita jaga agar kita menjadi orang berilmu dan beradab. Antaranya ketika kita mahu belajar maka buanglah segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk menerima ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan tinggi diri terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain. Kita dapat lihat bagaimana sikap rendah diri dan menghormati guru serta membuang segala keistimewaan yang ada pada diri melalui sebuah kisah sebagai renungan bersama di mana Khalifah Harun al-Rasyid yang amat masyhur ketika datang ke Mekah untuk menunaikan haji maka baginda tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Madinah. Setelah tiba di Madinah baginda ingin bertemu dengan imam Malik untuk belajar secara langsung daripada beliau berkenaan kitabnya yang paling masyhur iaitu Muwatta’. Ketika pesuruh khalifah datang menemui imam Malik untuk menyampaikan hajat khalifah lalu beliau dengan tegas menjawab : “ Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang”. Akhirnya khalifah datang sendiri berkunjung ke rumah imam Malik untuk belajar. Semasa berada di rumah imam Malik lalu disampaikan maksud kedatangannya itu iaitu untuk belajar kitab Muwatta’. Ketika mahu belajar maka didapati hanya satu kerusi sahaja yang ada di ruangan tempat belajar lalu imam Malik dengan tegas menyatakan :” Kerusi itu untuk guru dan jika engkau datang untuk belajar maka duduklah bersama dengan murid yang lain”. Maka dengan hati terbuka khalifah pun duduk bersama dengan murid imam Malik yang lain untuk belajar kitab Muwatta’.Jika rasa rendah diri dan menghormati guru tidak ada maka sudah tentu khalifah Harun al-Rasyid tidak mampu menimba ilmu pengetahuan daripada imam Malik.Baginda telah membuang rasa megah dengan kedudukan sebagai khalifah dengan duduk bersama murid imam Malik yang lain untuk sama-sama belajar. Inilah sikap yang mesti ada pada setiap diri pelajar agar mereka benar-benar belajar dengan baik disamping mendapat keberkatan hasil keredhaan guru.
        Pelajar juga mesti duduk dalam keadaan beradab apabila belajar dan jangan lakukan sesuatu perkara yang boleh menyentuh hati guru. Kita lihat bagaimana yang berlaku kepada imam Syafie yang merupakan seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Pernah suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai kalam dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan oleh guru disebabkan beliau tidak mampu membelinya. Beliau hanya mencatat isi penting itu dengan menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis ditapak tangan. Si guru yang melihat telatah imam Syafie lalu memanggilnya setelah tamat kuliahnya. Si guru begitu marah dengan apa yang dilakukan oleh imam Syafie kerana beliau menganggap imam Syafie tidak menumpukan perhatiannya kepada kuliah yang disampaikan sebaliknya hanya bermain-main sahaja dengan lidi. Imam Syafie menafikannya dan menerangkan bahawa dia telah mencatat semua ilmu yang telah diajar oleh guru tersebut di mana beliau turut menerangkan tentang ketidakmampuannya untuk memiliki kalam dan kertas sebagaimana oleh lain kerana tiada wang. Si guru terus mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu lalu imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu. Si guru begitu kagum dengan ingatan imam Syafie yang begitu kuat.Inilah ia bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya terutama ketika pembelajaran berlangsung. Kita juga dapat lihat bagaimana imam Syafie mampu menjelaskan dengan baik dan sopan kepada gurunya tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga guru berpuas hati dan sayang kepada muridnya itu.
        Pelajar juga tidak boleh berdendam kepada gurunya sehingga hilangnya perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa dalam mendidiknya. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk kita jadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya. Tegurlah guru dengan cara yang sopan jika dia tersilap. Kita pernah mendengar kisah bagaimana ada seorang Putera Mahkota seorang khalifah yang bakal menggantikan tempat ayahnya sebagai khalifah telah dibawa kepada seorang guru yang alim untuk belajar ilmu pengetahuan. Putera Mahkota ini merupakan seorang yang cerdik dan elok budi pekertinya. Pada suatu hari gurunya telah merotannya tanpa sebab tetapi beliau tidak terus bertanya kepada gurunya itu mengenai perkara tersebut. Setelah beliau besar dan dilantik menjadi khalifah lalu dipanggilnya gurunya itu serta disoal tentang sebab beliau dirotan sedangkan beliau tidak membuat apa-apa kesalahan. Lalu dengan tegas gurunya menyatakan bahawa perbuatannya itu merupakan suatu pengajaran agar anak muridnya itu tidak menyakiti hati rakyat jelata walau pun dengan perkara yang kecil setelah menjadi khalifah nanti kerana doa orang yang dizalimi merupakan doa yang maqbul.Sebagaimana khalifah itu boleh mengingati tindakan gurunya itu maka begitulah juga dengan rakyat yang dizalimi akan mengingati kezaliman khalifah walau pun kecil. Mendengar penjelasan gurunya itu lalu khalifah itu mengucapkan terima kasih di atas segala tunjuk ajar yang telah diberi selama ini

KEBERKATAN ILMU BENTENG DIRI HADAPI GODAAN SYAITAN,NAFSU


SEORANG sahabat Rasulullah SAW tiba di sebuah pasar. Orang ramai sibuk berniaga dan membeli-belah. Tiba-tiba beliau menyeru mereka: “Wahai manusia, mengapakah kalian tidak mengambil harta pusaka peninggalan Rasulullah SAW?”
Mereka pun bertanya: “Di manakah tempatnya harta itu?” Kemudian ditunjukkan tempat penyimpanan yang dimaksudkan iaitu masjid Rasulullah SAW. “Tidak ada yang kami temui kecuali orang yang sedang beribadat dan orang yang berkumpul di majlis ilmu.” Maka sahabat itu pun berkata: “Ilmu itulah harta peninggalan Rasulullah SAW!”
Sukakah anda mendapat harta pusaka Rasulullah SAW? Bukan emas dan permata, bukan istana, dan segala khazanah dunia. Tuntutlah ilmu! Bukan hanya ilmu agama, malah ilmu duniawi juga sama penting dan besar pahalanya di sisi Allah.
Rasulullah SAW dan sahabat Radiallahu ‘Anhum pernah belajar teknologi peperangan daripada Salman al-Farisi, ahli siasat perang dari Parsi. Baginda juga adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menjadi Rasul Allah.
Begitu juga Abu Bakar al-Siddiq, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin ‘Affan adalah pakar ekonomi yang banyak membantu dakwah di jalan Allah. Aisyah binti Abu Bakar Radhiyallahu ‘Anha pula menjadi rujukan penuntut serta Hafsah binti Umar seorang penulis dan pengumpul naskah Al-Quran.
Maka siapakah kita dengan ilmu yang ada? Apakah peranan kita untuk umat ini? Apakah ilmu yang kita miliki berkat, bermanfaat bagi diri, keluarga dan umat?
Ciri ilmu yang berkat menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah adalah :
  • Ilmu akan bertambah hebat akibat rasa takut kepada Allah.
Surah al-Faatir, ayat 28 menyebutkan: “Hanya yang takut kepada Allah, adalah ulama.” Keluasan ilmu Allah melahirkan manusia yang amat gerun kepada kekuasaan Allah.
Dengan ilmunya dia dapat mengetahui apa yang dibenci Allah dan apa yang disukai-Nya. Ini diadun dengan ilmu tentang kehebatan syurga Allah dan seksa neraka yang menjadi formula pembentuk sahsiah ulama pada dirinya.
Rasakan getaran hati anda, adakah ia begitu sensitif apabila berhadapan dengan keinginan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah? Jika di hati masih tersisa rasa takut kepada Allah, ilmu anda akan sentiasa bermanfaat untuk diri dan orang lain.
  • Ilmu membentuk sifat tawaduk.
Jika ilmu semakin tinggi, keagungan dan kebesaran Allah menutup segala ego dan kesombongan yang membayangi diri.
Tidak sama sekali menganggap orang lain bodoh dan lemah. Kerana sehebat-hebat manusia tidak akan mampu menghadapi ujian yang diberi oleh Yang Maha Mengetahui melainkan dengan pertolongan-Nya.
Dengan bekal segulung ijazah itu bolehkah anda menghadapi hari penghisaban dengan selamat? Pakar motivasi sekalipun tidak akan mampu menanggung musibah yang diuji pada dirinya kecuali dengan pertolongan Allah. Sifat tawaduk seperti bintang yang berkilauan. Ilmu pula ibarat purnama. Kedua-duanya amat cantik jika dikembarkan menjadi hiasan peribadi.
  • Ibadat bertambah nikmat kerana asas ilmu yang kukuh.
Sesungguhnya amal yang diterima memiliki dua syarat iaitu ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sabda Baginda ketika melihat seorang lelaki yang kurang betul sembahyangnya: “Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang.” Kerana itu, apa saja ibadat yang dilakukan wajib bersumber daripada sunnah Rasulullah SAW.
Cubalah mengerjakan ibadat dengan cara khusyuk seperti Rasulullah SAW khusyuk, berjuang seperti Baginda berjuang, berilmu seperti Baginda berilmu. Ilmu yang menggerakkan amal dan perjuangan untuk Islam.
  • Ilmu di dada membentuk peribadi khalifah.
Islam mengajarkan konsep kepemimpinan yang berteraskan sifat amanah dan bertanggungjawab. Kalau ilmu anda berkat dan bermanfaat, tentunya kedua-dua sifat ini amat menonjol pada diri anda, tidak kira di rumah, pejabat atau dalam lingkungan masyarakat iaitu anda berdiri sebagai individu yang bermaruah.
Seorang guru agama yang mempunyai jiwa khalifah akan mencorakkan umat dengan ilmu dakwahnya. Manakala, seorang guru sentiasa sedia membantu muridnya tidak kira Muslim atau bukan Muslim kerana dorongan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: “Kamu semua adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya atas apa yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Anda adalah ketua bagi diri anda sendiri, isteri, anak, tempat di mana anda bekerja dan di dalam masyarakat.
  • Bijak menyembuh penyakit dalam beramal.
Ilmu dan amal memang tidak boleh dipisahkan. Orang yang berilmu tidak akan berpuas hati dengan pencapaiannya. Dia akan sentiasa menimbang, meneliti, mencari-cari akan ketidaksempurnaan diri dan perbuatannya.
Penyakit orang berilmu adalah ujub manakala penyakit orang beramal biasanya riak.
Imam al-Nawawi memberi garis panduan bagi kedua-duanya. Beliau berkata: “Beramal kerana manusia adalah riak dan meninggalkan amal kerana manusia adalah ujub, ikhlas adalah engkau terlepas daripada kedua-duanya.”
  • Cerdik mengenal dan mematahkan tipu helah syaitan.
Ilmu yang berkat adalah senjata yang paling digeruni oleh syaitan. Umar bin al-Khattab pernah melewati satu lorong kemudian beliau berjumpa Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya syaitan lari daripada laluan Umar, kerana takut kepadanya.”
Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Ia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya.
Benarkah apa yang dilakukannya atau salahkah jalan yang dilaluinya? Semuanya disebabkan ilmunya yang berkat dan bermanfaat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya.” (Hadis riwayat Imam al-Tabrani dan al-Baihaqi)

Wednesday 27 July 2011

Kekuatan Dalam Sesebuah Organisasi

Apabila membicarakan tentang kekuatan sesebuah organisasi Islam atau jamaah ia akan menyentuh soal asas pembinaan organisasi / jamaah tersebut dan anggota individu yang melibatkan diri di dalamnya. Setiap anggota hendaklah memberi ketaatan dan kesetian kepada pemimpin atau pemerintahan Islam yang diasaskan oleh organisasi Islam / jamaah. Mereka merasakan lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam daripada musuh (al-Maududi 1985:26). Kekuatan akan berupaya selagi mana asasnya masih teguh dan utuh. Faktor utama yang berhubung dengan organisasi atau jamaah ialah (Harun Taib 1991:78)
1. Kekuatan dari sudut tarbiyah
Ia meliputi semua ahli yang terlibat dengan organisasi Islam / Jamaah. Tumpuan utama yang menjadi perhatian dan perhintungan masyarakat ialah kepada para pemimpin jemaah. Pemimpin yang mempunyai pentarbiyahan yang sempurna akan dapat pula mentarbiyahkan ahlinya dengan baik seterusnya akan membawa kepada kekuatan jemaah itu sendiri. Tanggungjawab yang paling besar dan berat ialah memastikan tarbiyah anggota rohiyyah (kerohanian) telah sampai kepada setiap anggota jemaah. Kelemahan tarbiyah boleh mengancam dan merobohkan benteng kekuatan perjuangan Islam.
2. Meletakkan seseorang di tempat yang sesuai.
Organisasi Islam/jamaah yang kuat dan matang ialah yang mengetahui keupayaan anggotanya serta kecenderungan mereka. Berdasarkan pengenalan inilah ia memilih dan memberi tugas yang sesuai dengan kemampuan seseorang. Dari sini seseorang yang ditugaskan itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Keadaan ini akan memantapkn lagi organisasi/jamaah tersebut. Tugas yang diberikan bersesuaian dengan kealiman, pengetahuan, pengalaman dan disiplin seseorang. Tanggungjawab kepimpinan pula mengikut kewibawaan, kewarakan, kejujuran, amanah dan berkebolehan memimpin serta mempunyai pengaruh dikalangan masyarakat. Manakala kedudukan pegawai dan pekerja pekerja Islam lain ditentukan mengikut kebolehan, pengalaman dan kesanggupan untuk meneruskan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.
3. Mengambil berat tentang hal anggotanya.
Organisasi Islam / jamaah yang mantap ialah yang mengambil berat tentang hal ehwal anggotanya. Ini mencerminkan keperihatinan terhadap ahli. Ia akan membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul. Tindakan ini akan mengelakkan anggotanya dari meninggalkan organisasi Islam / jamaah. Ia sentiasa memastikan kebajikan ahlinya. Segala keperluan asaas dalam organisasi Islam / jamaah disediakan untuk kemudahan bersama. Faktor kedua pula ialah yang berkaitan dengan anggota individu dalam sesebuah organisasi Islam / jamaah (Yakan 1987:169):
i) Tabie yang tetap
Seseorang anggota yang telah beriltizam dengan sesuatu organisasi Islam / jamaah itu hendaklah mengekalkan keiltizaman dan kedudukannya tanpa tergugat oleh mana-mana sebab atau situasi yang boleh menyebabkan ianya keluar dari organisasi Islam/jamaah tersebut. Jangan pula mudah terpedaya dan merajuk lantaran kerana terpengaruh dengan situasi dan persekitaran atau oleh nilai kebendaan. Sebagai pengajarannya, kita dapati para sahabat di zaman Rasulullah saw tidak sedikitpun berganjak dari kebenaran Islam walaupun terpaksa menerima berbagai ancaman dan azab yang tidak terperi. Para ulama yang memimpin organisasi Islam/jamaah tidak pernah luntur keiltizaman mereka walaupun terdapat beberapa kepincangan di dalam organisasi atau jamaah tersebut. Mereka tetap berusaha memperbaiki dan memperteguhkan kelemahan yang sedang dialami oleh organisasi/jamaah.
ii) Daya ketahanan jiwa yang tinggi.
Setiap manusia tidak sukakan kejahatan dan tidak sanggup menghadapi permasalahan. Akan tetapi di dalam memperjuangkan hakikat kebenaran Islam, setiap anggota pejuang tidak boleh lari dari permasalahan. Kadang-kala permasalahan menyebabkan perasaan lemah semangat dan kabur harapannya. Oleh itu untuk mengatasi masalah ini, setiap anggota yang terlibat dengan organisasi / jamaah hendaklah mempunyai ketahanan jiwa yang kuat, berbekalkan iman dan ketakwaan kepada Allah swt. Amalan-amalan sunat, amalan-amalan mulia (Fadhail al A’mal) dan sentiasa mengingati Allah (Zikrullah) adalah perkara-perkara yang boleh membantu memperteguhkan jiwa. Anggota jamaah yang sentiasa bertaqqarub kepada Allah swt tidak boleh bersifat putus asa, lemah semangat dan putus harapan.
iii) Tidak melampau
Kemampuan anggota hendaklah dikenalpasti sendiri oleh setiap anggota tersebut. Kawalan dalam diri perlu diutamakan supaya tidak bertindak luar kemampuan atau secara emosi. Sikap melampau ini akan mengakibatkan seseorang itu mudah berputus asa dan menerima risiko yang berat. Oleh itu setiap anggota jamaah haruslah berwaspada, berhati-hati dan bersikap sederhana dalam menegakkan islam atau memimpin organisasi/jamaah. Tuntutan Islam tidak boleh hendak dicepatkan mengatasi kemampuan ummah, kerana ia perlu kepada masa yang lama serta perjalanan yang jauh. Ini tidak bermaksud terpaksa leka atau sengaja melambat-lambatkan dan mencari alasan supaya tuntutan Islam tidak dilaksanakan. Pemimpin dan ulama hendaklah peka terhadap sikap setiap ahli. Mereka bertanggungjawab mengawasi anggota jamaah dan membuat penilaian dari semasa ke semasa agar setiap arahan dan tindakan akan diambil tidak menimbulkan reaksi buruk. Firman Allah swt:
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapaati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh) nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata ” Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengang sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang – orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)”. (Surah at-Taubah:42)

Kekuatan sesbuah organisasi / jamaah bergantung kepada pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap orang mukmin. Pengorbanan yang merangkumi dua skop utama iaitu pengorbanan yang dapat dinilai dan pengorbanan yang tidak dapat di nilai. Pengorbanan pertama yang dapat dinilai ialah pengorbanan masa, harta benda dan diri atau kekuatan fizikal. Pengorbanan kedua pula ialah pengorbanan, nyawa, buah fikiran, budi pekerti, kasih sayang kekeluargaan, persaudaraan serta perasaan (Khurasam Murad 1987:12). Pengorbanan ini mestilah dibentuk dalam disiplin diri, rohani, mental, organsisasi serta sosial. Asas ini akan menjamin kestabilan dan kelancaran pertadbiran organisasi Islam / jamaah.
Pengorbanan sememangnya tidak boleh lari apabila kita membicarakan tentang perjuangan. Terdapat pelbagai bentuk pengorbanan sama ada secara lansung mahupun secara tidak lansung. berjayanya sesebuah organisasi itu bergantung kepada ke seriusan kepimpinan dalam mentadbir Organisasi. Jadi ..... Letak lah Islam di hadapan anda nescaya anda akan merasakan satu kekuatan ketika anda berada dalam organisasi / Jamaah... 

Wednesday 20 July 2011

PERSEDIAAN MENGHADAPI RAMADHAN

الَلهمَ بلَغنا رمضان

“Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).

Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Persediaan
Cara
Iman
1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).
2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.
3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).
4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).
5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).
6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).
Ilmu
1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.
2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.
3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.
4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.
Dakwah
1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.
2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.
3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.
4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.
5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan.
Keluarga
1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.
2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.
Keazaman
1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.
2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.
3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.
4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.
5. Sentiasa berlapang dada.
6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.
Jihad
1. Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.
2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).
3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.
4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.
5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

SYAABAN BULAN PERSEDIAAN

Rejab sudah berlalu dengan kehadiran Syaaban yang sudah hampir kepertengahannya, bagaimana persediaan kita menghadapi dan melakukan sedikit perubahan demi perubahan untuk menghadapi bulan Ramadan Al-Mubarak?

Dalam menghalusi pengertian Syaaban sebagai bulan yang amat di sukai dan disayangi oleh Nabi Muhammad Sallallahualaihiwassalam, apakah intipati yang dapat kita tonjolkan daripada apa yang telah di sabdakan oleh Junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahualaihiwassalam, sabda Baginda seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah Radiyallahuanha, ‘kelebihan bulan Syaaban daripada bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan ku diatas segala umatku.’

Pada bulan Syaaban, ada satu malam sangat dinantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu, umat Islam akan membanjiri Masjid dan Surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.

Malangnya, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya melangkah kaki ke Masjid dan Surau pada malam Nisfu Syaaban sahaja atau hanya pada malam-malam tertentu yang mempunyai kelebihanya tersendiri? tidak pada hari-hari lain dalam bulan-bulan Islam yang lain. Perlu ditegaskan, setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri dan bagi Muslim yang bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah Subhanahuwata’ala sediakan pada bulan-bulan tersebut.

Muslim yang cemerlang tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah .Dia akan sentiasa istiqamah dan iltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah Subhanahuwata’ala pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah Subhanahuwata’ala kelak..

Di samping itu, terdapat juga himpunan Hadis menerangkan keistimewaan Syaaban, dan kelebihan malam Nisfu Syaaban serta keutamaan amalan tertentu pada bulan itu. Namun, kebanyakan Hadis itu adalah Hadis Daif menurut pandangan Ulama. Walaubagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat Hadis Daif boleh dipegang dan diguna pakai dalam amalan sunat secara perseorangan.

Pada Syaaban ini, umat Islam dianjurkan lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan meningkatkan Amal Soleh dan memperbanyakkan Ibadat. Tidak ada Hadis diriwayatkan berkaitan dengan amalan dan bacaan doa tertentu pada pertengahan Syaaban mencapai taraf Hadis Sahih. Menurut mereka, tidak ada satu pun Hadis Sahih yang membicarakan mengenai malam Nisfu Syaaban dan amalan yang dianjurkan pada malam itu.

Berdasarkan amalan biasa dilakukan umat Islam di Malaysia iaitu amalan membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali dan juga bacaan doa khusus ( dibolehkan) tetapi tidak menepati dalil Syarak sama ada Dalil Manqul (bersumberkan al-Quran dan hadis) atau Ma’qul (bersumberkan pendapat Ulama Mujtahidin yang muktabar ) untuk mengamalkan begitu. Perkara diatas perlulah diambil perhatian supaya dalam kita berlumba-lumba untuk mencari keberkatan dalam bulan Syaaban ini sebagai persediaan datangnya Ramadan,janganlah sampai kita mengabaikan perkara-perkara yang boleh membawa kepada hukum yang tidak biterima oleh syarak.
Menurut Prof Dr Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya Al-Fatawa, kandungan doa, itu secara umumnya adalah permohonan supaya ditetapkan sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki bersesuaian dengan segala kebaikan.

Maksud doa itu berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala : Ertinya,
Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ummul kitab (ibu segala suratan)(Surah al-Ra’ad , ayat 39).

Wahai sekelian muslim, berdoalah dengan sewajarnya mengikut ketetapan syarakdan seterusnya doa yang kita pinta kepada Allah Subhanahuwata’ala akan diberi perhatiandan dimakbulkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, InsyAllah.

Sama-samalah kita panjatkan kesyukuran dan doa kepadaNYA.moga Sya’aban ini menjadi penguat dan persedian kepada ibadah kita pada Ramadan yang mendatang.Amin. . seperti doa pada bulan Rejab yang lepas.. kita panjatkan doa yang sama..moga Allah Subhanahuwata’ala akan memberi keberkatan pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan lah kita semua berjunpa bulan Ramadan Al-Mubarak.