Sunday 15 May 2011

Biah Solehah


Biah Solehah
oleh: Ahmad Sufyan
Pembentukan Negara Islam
 
 
Pembentukan sebuah negara Islam adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Penunaian ini mestilah dilakukan oleh sesebuah organisasi masyarakat dan bukan secara perseorangan. Kewajipan membentuk negara Islam adalah didasarkan kepada kaedah fiqhiyyah yang berbunyi :
 
"Jika tidak sempurna sesuatu perkara wajib kecuali dengannya, maka ia adalah wajib"
Untuk mempermudah kefahaman, kita cuba mengambil contoh yang mudah : wudhuk. Wudhuk pada asalnya sunat. Tetapi jika kita ingin menunaikan sembahyang, kita diwajibkan berwudhuk. Sembahyang kita tidak sah tanpa wudhuk. Oleh itu hukum wudhuk dikira wajib.
Dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat yang mesti dijadikan hukum. Contohnya hukuman mencuri. Firman Allah di dalam Al-Quran :
"Dan pencuri lelaki dan wanita, maka potonglah tangan keduanya sebagai balasan terhadap apa yang mereka usahakan...."
(Al Ma’idah: 38)
Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah menetapkan hukuman bagi seseorang yang mencuri, hendaklah dipotong kedua-dua belah tangannya. Bagi memastikan perlaksanaan terhadap hukuman yang ditetapkan oleh Al-Quran itu berjalan dengan lancar, kita memerlukan sebuah kerajaan yang memerintah dengan corak pemerintahan Islam. Oleh kerana tidak terlaksana hukuman potong tangan ke atas pencuri tanpa wujud negara Islam, maka negara Islam adalah wajib ditegakkan.

 
Ciri Negara Islam
 
 
Antara ciri negara Islam ialah ia mempunyai biah yang solehah. Biah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti : Persekitaran (condition/environment/circumstances) dan solehah pula bererti : Baik. Biah Solehah ialah satu keadaan masyarakat yang baik yang terbentuk daripada tiga elemen yang saling memerlukan.Tiga elemen perlu wujud serentak dan Biah Solehah tidak akan sempurna tanpa salah satu daripada elemen ini.
 
1. Masyarakat Yang Bersyariat
Apabila anda membeli sebuah komputer atau kereta, pihak pengeluar komputer atau kereta itu sudah pasti akan memastikan anda akan mendapat buku panduan (manual) untuk penyelenggaraan sendiri yang mengandungi maklumat mengenai cara menggunakan atau mengendalikan komputer atau kereta tersebut. Mengapakah anda dibekalkan dengan buku tersebut ? Ya, sudah tentu kerana pihak pengeluar ingin memastikan bahawa produknya itu berfungsi dengan baik.
Begitulah keadaannya dengan syariat Islam. Kita dicipta oleh Allah yang Maha Agung kemudian dihantar ke bumi dengan tujuan untuk menjadi Khalifah dan hamba-Nya di bumi ini. Lalu untuk memastikan ‘produk’-Nya itu berjalan dengan teratur dan lancar, maka Allah membekalkan kita buku panduan yang diberi nama : Al-Quran yang diperlengkapkan dengan model yang agung : Nabi Muhammad.
Firman Allah :
"Itulah kitab yang tiada keraguan padanya yang menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa"
Al-Baqarah :2
Peraturan dan arahan yang termaktub dalam kitab suci itu dan yang terserlah oleh sunnah Rasulullah itulah yang dipanggil syariat. Dengan melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek kehidupan, maka perjalanan hidup manusia akan berjalan lancar dan teratur serta sistematik.
 
Perlaksanaan terhadap syariat Islam mestilah menyeluruh sama ada dari segi pentadbiran, ekonomi, sosial, pemikiran dan kebudayaan serta peradaban manusia. Dari sudut pentadbiran, perlaksanaan syariat dilakukan dengan mentadbir dengan penuh keadilan, melaksanakan undang-undang syariat dan memastikan keadaan rakyat aman dan harmoni. Sementara itu, syariat Islam juga mesti dilaksanakan dalam bidang ekonomi dengan memastikan tiada penindasan, menghapuskan sistem ekonomi kapitalis yang menindas, menjadikan ekonomi adalah sebagai penyokong kepada keadilan sosial dan sebagai tunjang kemajuan negara.
 
Struktur sosial yang bersyariat adalah unsur paling penting dalam menilai tahap mpengamalan syariat sesuatu masyarakat. Ini kerana masyarakat yang mengamalkan cara pergaulan, berpakaian, bermuamalah sesama manusia adalah penjamin keharmonian sesebuah masyarakat. Masyarakat yang bersyariat ini diasaskan oleh hati-hati yang tunduk kepada Allah dan dipenuhi dengan sifat-sifat kehambaan kepada Allah. Hati yang taku kepada Allah dengan sendirinya tumbuhlah akhlaq Islamiyah yang dibungai dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti rajin, sabar, qanaah (cukup dengan apa yang ada), berkasih sayang sesama insan dan lain-lain.
 
Pemikiran dan kebudayaan sesuatu masyarakat mestilah diteraskan kepada syariat Islam yang global, indah dan bersifat rohaniyah.

 
2. Ukhuwwah (persaudaraan) Yang Kukuh
Firman Allah :
"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka perbaikkanlah hubungan dengan dua saudara kamu, bertaqwalah kepada Allah semoga kamu beroleh rahmat"
Al-Hujurat : 10
Islam amat menitik beratkan akan hubungan persaudaraan sesama muslim. Banyak sekali terdapat hadith Rasulullah yang menganjurkan umatnya agar berkasih sayang sesama mereka.
 
Pembentukan ikatan yang kukuh bermula apabila setiap hati manusia mempunyai cita-cita yang satu: menuju Allah. Apabila hati tertumpu kepada Allah, maka senanglah untuk masyarakat bersatu. Ikhwah Islamiyah dapat dilihat dalam realiti kehidupan masyarakat. Jika terdapat si kaya, dia akan menjadi bank kepada masyarakat dan akan membantuan demi ukhuwwah dan kasih sayang sesama muslim. Jika ada si miskin, ia tidak menghina si kaya bahkan tidak ingin menyusahkan manusia lain demi ukhuwwah.

Para majikan mengasihi pekerja, pekerja menghormati majikan, kanak-kanak disayangi, orang dewasa di hormati, semuanya berkasih sayang antara satu sama lain. Rasulullah pernah bersabda daripada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
"Kamu semua tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak dikira beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Tidakkah kamu mahu jika aku tunjukkan kepada kamu jika kamu mengamalkannya nescaya kamu akan saling berkasih sayang ? Sebarkanlah salam antara kamu"
Riwayat Muslim.
Salam adalah cara yang paling baik untuk menjalinkan ukhuwwah Islamiyah antara muslim. Salam sunat disampaikan kepada sesiapa sahaja dari kalangan mukmin sama ada lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita bahkan lelaki dengan wanita sekalipun dengan syarat tidak menimbulkan fitnah.

Firman Allah :
"Jikalau engkau semua diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan (ucapan salam) maka jawablah penghormatan itu (salam) dengan lebih baik atau balaslah dengan seumpama dengannya."
An-Nisa’ : 86
Salam sebenarnya mengandungi doa dan penghormatan. Ini bermakna, jika seseorang itu memberi salam kepada saudaranya, dia telah berdoa keselamatan dan memberi penghormatan kepada saudaranya itu. Itulah indahnya syariat Islam.
 
Dikhabarkan bahawa tahap paling rendah dalam ukhuwwah Islamiyah ialah apabila seseorang muslim itu melihat wajah saudaranya, hatinya akan merasa tenang. Ukhuwah Islam mesti dilahirkan dengan melengkapkan hati dengan sifat terpuji seperti sabar, bersopan-santun, peramah, penenang, IKHLAS, mudah bertolak ansur, memaafkan kesalahan orang lain serta menghapuskan sifat dengki, khianat, pendendam dan lain-lain.

 
3. Kebersihan
Sabda Rasulullah :
Sesungguhnya Allah itu bersih dan sukakan kebersihan
-Riwayat Termizi
Tanpa Iman, seseorang itu masih belum sempurna. Islam dan Iman adalah suatu perkara yang saling melengkapi.
 
Tiada agama di dunia ini yang menuntut penganutnya agar mengutamakan kebersihan selain agama Islam. Bahkan kebersihan melambangkan Iman seseorang atau sesebuah masyarakat. Ini bermakna, jika seseorang muslim itu banyak berbuat amal ibadat, tapi dalam masa yang sama seorang pengotor, membuktikan bahawa Imannya masih belum sempurna.
 
Manusia memang secara fitrahnya menyukai benda-benda yang cantik, bersih dan membenci objek-objek yang kotor dan hodoh. Islam sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia, tidak sekali-kali membenarkan umatnya membuat kekotoran dipersekitaran mereka. Kebersihan lahiriyah mesti dijaga. Kawasan-kawasan umum seperti masjid, taman, padang dan tempat-tempat rekreasi mesti sama-sama dijaga kebersihannya dan bukan hanya petugas-petugas kebersihan. Sampah, walau sekecil mana pun mesti dibuang ditempat yang sesuai supaya suasana bertambah selesa.

 
Tamadun Manusia
 
Manusia memang cintakan kemajuan. Islam juga tabiatnya membawa kemajuan. Kemajuan yang diukur oleh Islam ialah bukan sekadar yang dapat dilihat dengan mata, bahkan kemajuan dan tamadun yang disuluh oleh hati. Apabila sesebuah negara itu mengamalkan Islam, sudah pasti membuahkan kemajuan. Ibarat api dan sifatnya yang membakar. Apabila ada api, sudah tentu ia membakar kerana memang sifat api adalah membakar. Apa yang perlu ialah mendapatkan api. Bukan membuatkan api itu membakar.
 
Negara Islam adalah negara yang maju dan bertamadun. Maju dan bertamadun dilihat daari aspek rohani dan fizikal serta material. Namun kemajuan material sebenarnya hanyalah hasil kemajuan dari aspek rohiyyah atau hati. Keindahan seni bina Islam, kemajian sains Islam dan pelbagai lagi kemajuan material yang dicapai ialah sebenarnya lahir akibat hati yang tunduk kepada Allah. Apabila hati mereka tunduk kepada Allah, sudah dipenuhi oleh bunga ukhuwwah Islamiyah, maka tercetuslah seni bina, peralatan dan teknologi perubatan, astronomi, optik dan lain-lain. Seorang Islam yang tahu kewajipannya untuk membayar zakat kepada orang yang layak akan terus berusaha untuk mencari harta sebanyak mungkin untuk membayar zakat serta membuat amal kebajikan. Mereka yang kaya akan melaburkan harta mereka untuk membina sekolah, hospital, pejabat pos dan lain-lain yang akhirnya menjadikan seseuatu umat itu manju dalam keadaan dirahmati Alllah

Firman Allah :
"Makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan kamu dan bersyukurlah (berterima kasih) kepadanya, negeri yang makmur dan mendapat keampunan Allah.
Saba’ :15

No comments:

Post a Comment