Tuesday 13 July 2010

KEHIDUPAN SEBENAR 'SINGA' DUNIA ISLAM SEKARANG

Kehidupan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad merupakan contoh terbaik dalam aspek kesederhanaan.

Semasa Mahmoud ditanya oleh media Barat, apakah yang dikatakan kepada dirinya sendiri setiap kali beliau melihat cermin pada waktu pagi, Mahmoud menjawab:

"Saya melihat lelaki di dalam cermin itu dan berkata: Ingat! Kamu tidak lebih sekadar pesuruh kecil, dan hari ini kamu mempunyai tanggungjawab yang sangat besar iaitu untuk berkhidmat kepada negara Iran," katanya.

Mahmoud, sejak awal pelantikannya sebagai Presiden Iran, mengejutkan banyak pihak dengan tindakannya yang berlawanan dengan kebanyakan pemimpin tertinggi dunia yang lain.

Lelaki bertubuh kecil itu memulakan perkhidmatannya sebagai Presiden dengan mendermakan semua permaidani mewah Iran yang berada di pejabatnya kepada masjid-masjid di Teheran.

Beliau kemudian menggantikan permaidani tersebut dengan permaidani biasa yang berharga jauh lebih murah.

Semasa mula-mula mengambil alih tampuk pemerintahan, Mahmoud menyedari kewujudan sebuah bilik mewah yang digunakan untuk mengalu-alukan kedatangan VIP di bangunan pejabatnya.

Beliau kemudian mengarahkan bilik itu ditutup dan digantikan dengan sebuah bilik biasa yang hanya dilengkapi beberapa buah kerusi kayu.

Mahmoud juga dikenali sebagai Presiden yang prihatin dengan masalah kebersihan, terutama di bandar Teheran apabila beliau beberapa kali menyertai pekerja majlis perbandaran untuk membersihkan jalan-jalan berdekatan kediamannya dan pejabat Presiden.

Mahmoud pernah berkata, beliau bangga menyapu jalan-jalan di Teheran.

Di bawah pemerintahannya, Mahmoud menuntut semua menteri menandatangani dokumen perjanjian berkaitan harta dan kekayaan, di mana menteri dituntut supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk memperoleh kekayaan.

Beliau juga membenarkan menteri memasuki pejabatnya tanpa perlu meminta kebenaran.

Mahmoud, yang dilahirkan pada 28 Oktober 1956, memegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan lalu lintas dan pengangkutan di Universiti Sains dan Teknologi Iran, di mana beliau bertugas sebagai pensyarah sebelum dilantik menjadi Presiden pada 6 Ogos 2005.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Teheran bermula pada 2003 hingga 2005.

Semasa dilantik menjadi Datuk Bandar, perkara pertama yang dilakukan Mahmoud adalah mengumumkan 'harta terbesar' yang dimilikinya, iaitu sebuah kereta Peugeot 504 yang dikeluarkan pada 1977 dan sebuah rumah kecil yang diwarisi daripada bapanya 40 tahun lalu.

Presiden keenam republik Islam itu juga pada mulanya berkeras mahu terus tinggal di rumahnya selepas dilantik sebagai Presiden tetapi beliau dipaksa oleh pasukan keselamatannya supaya berpindah masuk ke kediaman Presiden atas sebab keselamatan.

Mahmoud juga enggan menerima gajinya sebagai Presiden kerana menganggap semua kekayaan itu adalah milik negara dan dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga kekayaan Iran.

Selain itu, salah satu sikap Mahmoud yang mengagumkan pekerja di pejabat Presiden adalah tabiat beliau yang membawa sebuah beg berisi sarapan pagi yang disediakan oleh isterinya, setiap hari.

Mahmoud turut menghentikan penghantaran makanan khas yang disediakan untuk Presiden sebelum ini.

Lebih menarik lagi, beliau mengubah kapal terbang rasmi Presiden kepada kapal kargo untuk membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengarahkan supaya beliau diterbangkan menggunakan penerbangan biasa dan ditempatkan di kelas ekonomi.

Beliau juga menghentikan sambutan khas yang diberikan kepada Presiden seperti permaidani merah semasa lawatannya di dalam negara.

Apabila beliau dikehendaki menginap di hotel, Mahmoud akan memastikan pihak hotel tidak memberikannya bilik yang mempunyai katil besar dan menegaskan beliau tidak suka tidur di atas katil, sebaliknya lebih suka tidur di atas tilam nipis.

Perjalanan semasa kempen beliau untuk menjadi Presiden juga dikagumi apabila Mahmoud memenangi pilihan raya umum Iran tanpa mengeluarkan sebarang perbelanjaan atau menerima sebarang sumbangan, sebaliknya hanya bergantung kepada penyokongnya yang menggunakan jaringan masjid untuk meraih sokongan.

Walaupun kelantangan Mahmoud membuatkannya tidak disukai oleh negara Barat, namun sifat sederhananya dikagumi media Barat yang tidak putus-putus menulis mengenai keperibadian Mahmoud. Begitulah kehidupan Presiden salah sebuah negara paling berkuasa di dunia.

Friday 9 July 2010

DOSA-DOSA KETIKA MENGGUNAKAN FACEBOOK



Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1)   Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.  Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami  serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
 
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
 
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu  jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2)  Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi  kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri).  Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
 
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
 
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
 
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,  si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang  sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3)  Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
 
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4)  Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
 
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar. 
 
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5)  Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
 
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya
 
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
 
a-      Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b-      Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c-      Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat. 

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
 
    Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
    
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
 
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik. 

KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian
 
Zaharuddin Abd Rahman

Monday 5 July 2010

GENERASI ULUL ALBAB

Usia tahun ini sudah mencecah 15, 18, 20, atau 25 tahun. Usia remaja setahun jagung ini menandakan tempoh permulaan buat semua pejuang-pejuang agama bagi mematangkan fikiran supaya Islam tidak layak dipijak dan dihina oleh Yahudi dan Nasrani.Takbir ! Maka, tibalah tahap yang amat mencabar, di mana di sinilah permulaannya, iman kita akan dibentuk dengan akidah dan akhlak digauli dengan ramuan ibadah beserta bi'ah yang solehah.

Wahai remaja ,
bukan ini masanya untuk kita mencari teman hidup yang difikirkan sesuai.Asyik diifikirkan, difikirkan dan difikirkan lagi. Waktu ini syaitan dan iblis menyolek muka dan mata kita supaya tertarik kepada anugerah kecantikan dan kecomelan makhluk ciptaan Tuhan. Masa ini nafsu menyuruh kita supaya melakukan sesuatu perkara yang membolehkan kita mendapat perhatian dan pujian.Terampil mengoda bergaya!

Sedang Yusuf yang digoda oleh Zulaikha yang menggoda pun tidak langsung tertarik hatinya untuk melakukan zina. Inikan kita yang bertaraf hamba yang hina. Rata-rata melakukan ibadah untuk mengharapkan pujian dan perhatian, mahu dianggap baik, sopan dan soleh, bukan mengharapkan pahala dan perhatian Tuhan. Rata-rata melakukan kebaikan supaya dipandang bagus bukannya mencari redha Allah.

Syaitan dan Nafsu bergembira atas tindakan kita yang mengacau puteri-puteri islam yang manis dan mengurat putera-putera islam yang segak. Syaitan dan Nafsu juga tentu sedang bergembira atas kejayaan mereka menyelimuti kita supaya tidak bangun menunaikan solat Subuh berjemaah apatahlag bangun bertahajud di hamparan sejadah Qiamulail. Syaitan dan Nafsu juga amat gembira apabila melihat Rumah Allah dibunyikan di dalamnya rancak nada dering telefon bimbit, umpatan-umpatan serta perkataan-perkataan komunikasi yang merugikan masa dan membuang erti kata sebenar iktikaf .

Wahai remaja ,
kita mesti menyedari bahawasanya kita sebenarnya sedang menempuh lautan yang berombak dan bergelora saat ini. Sudah tiba masanya untuk menaikkan layar supaya kita tidak tenggelam hanyut dibawa oleh fitnah dunia. Sudah tiba masanya untuk berlayar lebih jauh dengan kapal TAKWA dan layar IMAN untuk mencari pelabuhan REDHA (Mardhatillah). Sudah tiba masanya merebut dan menjala ikan-ikan PAHALA bukannya merelakan diri ditelan dengan jerung DOSA dan badai NERAKA. Sedarkah kita ?

Adakah 'buaya-friend' dan 'gila-friend' wajib menjadi sesuatu yang dominan dalam kehidupan setiap yang bergelar remaja ? Bagaimana dengan status remaja islam ? Sememangnya wajib memilikinya seorang sat atau maksimun 4 atau bersilih ganti ? atau status mencari pengalaman di alam remaja ? Jawapannya sudah tentu sekali TIDAK !

Mengapa ? Salahkah bercinta ? Cuma setakat hendak berkenalan dengan lebih intim ? Bukannya sampai berpegangan tangan ataupun bercium-ciuman pun ? Kita dah besarlah, bukan budak-budak , semuanya BOLEH !

Bukan begitu wahai remaja,
Islam tidak menghalang benih-benih cinta ditanam di setiap hati insan bergelar muslim. Namun sekarang kita adalah MASIH REMAJA. Amanah yang diberikan bukannya disuruh menghampiri zina. Tetapi berusaha, belajar, berdakwah dan beribadah sehingga berjaya. Fokus matlamat kehidupan sebenar di alam akhirat nanti. Kenapa mengizinkan diri terus hanyut dalam noda dunia yang penuh sengketa dan pura-pura ?

Masanya sudah tiba, ayuh kita bangkit wahai remaja-remaja islam, kita berjuang sehingga Masjidil Aqsa dibebaskan. Kita berjuang sehingga fitnah Dajjal dapat kita tewaskan. Kita memerdekakan jiwa kita yang dibelenggu musuh nyata. Kita melawan hawa nafsu dengan penuh kesabaran, hingga dapat menjadi penghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan. Janji Allah itu pasti !
 
Bukannya kita perlu mencari publisiti murahan. Dengan mengacau dan mengorat makhluk comel dan kacak ciptaan Tuhan. Menjaja perasaan indah gelora Uda dan Dara. Bukannya dengan meninggalkan sunnah yang nabi wariskan. Bukan dengan membiarkan alasan murahan terus menghasut ; diri masih belum dapat hidayah, diri tidak bersedia ataupun sebenarnya diri MALAS melakukannya. Bukan dengan mengambil remeh dan memandang enteng kepada ibadat dan amalan yang dilakukan. Bukan dengan meninggalkan Al-Quran, Kitab suci yang dipelihara kesucian zaman-berzaman.Acuh tidak acuh mentaati Tuhan ? Macamlah yakin dan pasti sangat dapat ke syurga seperti Saidina Uthman bin Affan !

Wahai remaja,
kita seringkali mengeluh dan marah apabila kita diaibkan di khalayak ramai. Tidakkah kita terfikir, kita sedang dan akan malu mengaibkan diri sendiri di depan Allah dan di tepi malaikat. Ayuh celiklah, sedarlah dan bangunlah memperjuangkan Islam. Teruskan perjuangan sehingga nyawa bercerai dengan badan.


Carilah ilmu dan perangi godaan hawa nafsu.
Kata mahu Islam maju tetapi masih malas baca buku !

Wahai remaja,
Ini bukan hanya peringatan. Ambil jadikan pedoman. Jadilah remaja cemerlang yang beriman. Bukan sampah masyarakat yang tidur di laluan najis buangan.


Ayuh berjuang demi maruah remaja ISLAM dan generasi MUSLIM sedunia !


"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam,supaya kamu jangan menyembah Syaitan! Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu.Dan(Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka)maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf ? "  Yaasin : 60-62

WAHAI PARA PENDAKWAH....!!


KAMU... Mereka yang dikurniakan Allah nikmat ilmu al-quran dan hadith. Yang mengetahui apa yang tidak kami ketahui tentang agama kami sendiri. Dengan itu, telah menjadi tanggungjawab kamu untuk menyebarkannya kepada kami.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."

- Al-Baqarah, 42 -
 
Wahai para dai'e,
Dengarlah rintihan dan permintaan daripada kami ini, agar kami boleh memahami apa yang telah menjadi pegangan kami selama ini. Kami tidak ingin jahil selamanya, kami punya semangat tapi kami memerlukan dorongan, sedikit anjakan daripada kamu, dan peringatan agar kami tidak kembali lalai.
 


"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."
 
-Ali-Imran, 104 -
 
Wahai para dai'e,
Janganlah kamu sesekali merasakan diri kamu itu lebih hebat dan mulia daripada kami, kerana ianya hanya akan menyebabkan kami menjauhi kamu. Biarlah kami sendiri yang merasakan diri lemah dan jahil berbanding dengan kamu agar kami sentiasa mendekatimu untuk memperbaiki diri kami agar memperoleh keredhaan Allah.
 
"Zuhud-lah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhud-lah terhadap apa yang ada di tangan manusia maka manusia pun akan mencintaimu."
 
- H.R Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad hassan -
 
Wahai para dai'e,
Berilah kami nasihat dan peringatan yang sesuai dengan tahap kemampuan iman kami, bersikap lembutlah terhadap kami, bantulah kami membentuk aqidah kami, janganlah engkau menyeru kami untuk menunaikan ibadah-ibadah sunnah sedangkan ibadah wajib kami tinggalkan.
 
Jawablah soalan-soalan kami dengan bijak dan sertakanlah sedikit jawapan tambahan agar boleh kami mengambil pengajaran yang bermanfaat, seperti mana Rasulullah saw apabila baginda ditanya sama ada air laut itu boleh dibuat wudhuk atau tidak, baginda menjawab
 
"Laut itu airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya halal"
 
- H.R Malik, al-Syafi'e -
 

Wahai para dai'e,

Telah kamu ketahui tanggungjawabmu, maka tunjukkanlah kami teladan yang baik untuk kami ikuti. Janganlah kamu hanya menasihati kami dengan mulutmu, tetapi tidak dengan akhlakmu. Kita sendiri tahu bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak suka perbuatan seumpama itu.
 


"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"

- Al-Baqarah, 44 -


Dan, telah kamu wahai para dai'e, menjalankan tanggungjawabmu. Maka tibalah giliran kami untuk menyampaikan nikmat Allah ini kepada saudara kita yang masih tidak mengetahui. Dan semoga kita dirahmatiNya...


"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya".

- Ad-Dhuha,11 -

ANAK!!!


'Epal yang cantik berbeza dengan epal yang busuk di makan ulat.' Apa yang anda faham dengan kenyataan saya di atas? Cuba fikir-fikirkan. Generasi hari ini adalah merupakan penyambung kejayaan untuk masa hadapan. Apa yang dibentuk hari ini merupakan landasan kepada masa hadapan. Jika generasi muda diberikan pendedahan yang baik ia akan memberikan impak yang baik serta positif. Jika lain, maka lainlah jadinya.
Teramat penting untuk sama-sama kita membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang dalam setiap aspek. Ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kita semua. Bukan sahaja pada orang-orang tertentu.  

'Melentur buluh biarlah dari rebungnya.'

Apa yang anda faham dengan peribahasa yang saya sebutkan ini? Untuk menjadikan seseorang individu yang berjaya perlu dibentuk dengan cara yang betul, strategik bermula daripada kanak-kanak, sebaik semasa dalam kandungan bukan. Jangan berlengah lagi untuk menjadikan seseorang anak yang berjaya.

Serlahkan Bakat

Bakat perlu diketahui oleh semua orang. Bagaimana dengan anda? Masih keliru dengan bakat yang anda miliki? Ataupun anda ragu-ragu betul atau tidak apa yang anda senaraikan adalah bakat anda?

TAHNIAH 

saya ucapkan jika anda telah benar-benar yakin dengan bakat anda sendiri. Namun begitu, yakin dengan bakat sahaja tidak mencukupi. Anda perlu serlahkan dan lakukan sehabis baik. Jadikan bakat yang anda punyai sebagai landasan untuk membentuk kejayaan kepada diri anda sendiri. Anak-anak perlu dididik dengan berdasarkan bakat semulajadi yang dimiliki mereka. Sebab itulah saya mengatakan ianya oasis kecemerlangan masa hadapan. Bakat yang dikenalpasti dan dilatih dengan sebaiknya akan memberikan kejayaan sebenar. Mereka akan lebih kenal diri mereka sendiri dan melakukan sesuatu dengan baik dan rasa seronok sekali. Cuba anda bayangkan setiap generasi tahu bakat masing-masing dan menggunakan bakat untuk memajukan diri secara berterusan. Sudah pasti hebat bukan. Setiap daripada mereka akan jelas tentang apa yang mereka capai masa hadapan.
 
Merentas Masa Hadapan
 
Jangan lupa untuk melakar masa hadapan anda. Apa yang anda bayangkan diri anda pada masa hadapan? Eh, jangan pula anda bayangkan diri anda seorang yang gagal. Bayangkan dan lakarkan anda seorang yang berjaya dan sentiasa ceria dan gembira. Saya yakin tiada siapa mahu gagal. Pernahkah anda dengar 'Saya tidak mahu berjayalah, saya mahu gagal.' Harapan saya tiada siapa yang berkata begini. Jika ada perlu periksa kembali. Generasi yang memerhatikan dan merentas masa hadapan akan yakin halatuju dan matlamat mereka. Setiap jalan kejayaan pasti tepat dan dilalui dengan betul. Sudah pasti ia berbeza dengan generasi yang tidak tahu halatuju bukan. Segalanya akan dilakukan dengan strategi yang berkesan dan bersungguh-sungguh.

Generasi hebat!

Generasi yang hebat adalah generasi yang mempunyai matlamat hidup yang ke arah kejayaan. Usaha sudah pasti akan dilakukan dengan sebaik-baiknya. Mereka akan membentuk diri mereka selari dengan matlamat agama, bangsa dan negara.

Bagaimana anda mentafsirkan generasi hebat?

Saya yakin generasi yang hebat tidak akan melakukan perkara-perkara yang menyalahi peraturan serta undang-undang agama dan juga negara. Mahukan anda semua melihat tiada lagi zina berlaku, rempit tiada, kes ragut sifar dan berbagai-bagai masalah selesai? Pendedahan kepada membentuk generasi hebat perlu dengan kadar segera. Apa sahaja dilakukan mempunyai matlamat yang jelas. Generasi ini akan menjadikan suasana kepasa suasana yang harmoni dan sentiasa ceria.

Mencapai Impian  

Impian boleh dicapai dengan usaha yang berterusan. Ianya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Jangan sesekali menyerah kalah dan berputus asa. Jika anda gagal, anda perlu tahu yang mana setiap orang yang gagal pasti pernah gagal. Jadi anda perlu teruskan untuk mencapai impian yang diinginkan. Setiap individu perlu mempunyai impian yang jelas. Biarkan mereka mempunyai impian yang besar. Berikan sokongan dan jangan pula anda mengejek impian mereka. 'Apa impian ni, mustahillah.' Anda perlu tahu tiada yang mustahil jika kena pada tempatnya. Bantu semua generasi hari ini untuk mempunyai impian dan matlamat. Jangan lupa pula membantu mereka mencapai impian. Berikan tunjuk ajar dan cara sebenar untuk impian yang mereka ada menjadi kenyataan. Masa hadapan yang cemerlang perlu bermula pada hari ini juga. Buka Minda, Buka Fikiran