Thursday 28 April 2011

Hormati Manusia Kerana Ilmunya


Kawan-Kawan saya yang menghadiri kuliah umum anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Tinggi Islam (IAIS) di Petaling Jaya yang disampaikan oleh Imam Sheikh Abd.Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, Ketua Imam, Masjidil Haram, Mekah baru-baru ini telah menceritakan sesuatu yang kurang enak didengar.
Kata mereka, kuliah yang dijangka berlangsung pada jam 10.30 pagi itu tertangguh dan bermula jam 12.30 tengahari. Puncanya, Sheikh Abdul Rahman lewat tiba. Separuh daripada para hadirin yang berjumlah kira-kira 300 orang daripada pelbagai bangsa dan agama telah angkat kaki. Ada yang meninggalkan dewan IAIS itu kerana ada komitmen lain.
Perasaan buruk sangka atau su'udzon pun mula berlegar-legar di fikiran mereka yang bosan menanti. Mereka merungut kerana pak imam datang lewat, lalu mempersoalkan kelewatan Sheikh Abdul Rahman. Bagi saya, tidakkah terfikir, barangkali Sheikh Abdul Rahman lewat kerana kepenatan atau kurang sihat? Meskipun, beliau adalah tetamu negara, tentu sekali ada aral yang melintang. Yang hadir seharusnya berlapang dada menantinya.
Menurut mereka yang menghadiri majlis itu lagi, sebaik sahaja Imam Besar yang berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Syariah Islam itu tiba, suasana riuh rendah dan bising terus berubah sunyi sepi. Wajah Sheikh Abdul Rahman yang bersih berseri, senyuman manis dan penyampaian ceramahnya dengan suara yang terang lagi tenang yang diselang-seli dengan lafaz ayat-ayat suci al-Quran, membuatkan seluruh dewan jadi terpaku. Kelewatannya terus dilupakan. Ceramah mengenai Masa Depan Tamaddun Islam yang disampaikan beliau adalah ubat yang menghilangkan resah para hadirin.
Lihatlah. Jika kita ingin menuntut ilmu, kita sendiri mestilah menghormati gurunya. Mana boleh, kelewatan guru menjadi alasan untuk kita terus memperlekeh orang yang hendak memberi ilmu kepada kita? Beruntunglah mereka yang menunggu. Kerana menanti, mereka memperoleh ilmu dari ulamak yang terkenal kerana ilmunya. Bukannya mudah perkara dan situasi itu akan berulang.
Khabarnya, mereka yang hadir di IAIS boleh bersalaman dan bersantai sebentar dengan Sheikh Abdul Rahman berbanding dengan mereka yang terpaksa berhimpit-himpit untuk bersalaman dengan Ketua Imam itu setelah beliau mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan selang dua hari kemudian. Kerana mereka sabar dan hormat, mereka berpeluang pula beramah mesra pula dengan cendekiawan yang terkenal di merata dunia Islam itu.
Itulah untungnya menghormati orang kerana ilmunya. Andainya siang-siang lagi kita menunjuk aksi kepandaian kita dalam menepati masa, yang kononnya lebih bagus daripada Sheikh Abdul Rahman pada hari itu, kita akan merendahkan ketokohannya. Yang ruginya adalah kita sendiri kerana perasaan ego itu akan mengganggu konsentrasi kita menerima dan menghazam ilmu yang disampaikan beliau.
Menghormati manusia juga biarlah kerana ilmunya. Orang yang berilmu pula amat suka kepada orang yang ingin memperoleh ilmu daripadanya. Biasanya orang yang berilmu tidak lokek untuk menyampaikan apa yang diketahuinya. Penyampaiannya itu akan menguntungkan kedua-dua belah pihak untuk sekurang-kurangnya daripada tiga aspek.
Pertama, kita yang bertanya akan memperoleh ilmu. Kedua, ilmuan yang menjawab itu akan memantapkan ilmu yang dipelajarinya kerana soalan kita itu umpama ulangkaji baginya. Ketiga, perbincangan mengenai ilmu itu sendiri bakal memperluas ruang lingkup topik yang dibicarakan.
Beruntunglah seandainya kita sentiasa ingin hadir di dalam majlis-majlis ilmu yang pada hari ini disampaikan dalam bentuk usrah, kuliah, ceramah, forum, wacana, seminar mahupun persidangan. Kita perlu meluangkan masa untuk majlis-majlis seperti ini. Majlis-majlis ini kian banyak dianjurkan. Dalam pada itu, kita perlu mengurangkan sedikit tabiat menghadiri majlis-majlis untuk keseronokan semata-mata seperti menghadiri konsert, parti dan berpesta-pestaan.
Daripada Ali Bin Abi Tholib r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Orang yang paling baik itu ialah orang yang alim(berilmu). Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manafaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang).
Andainya kita sendiri orang yang berilmu, bukankah ia juga bererti kita sebenarnya menghormati diri kita sendiri?

Friday 15 April 2011

MENGEMBALIKAN THIQAH (KEPERCAYAAN) SEORANG PEMIMPIN

Apabila seseorang pimpinan sudah hilang thiqahnya (kepercayaan orang lain kepadanya) maka secara automatik akan menjejaskan gerak kerjanya. Kesalahan kecil yang dilakukan oleh pimpinan itu seperti kesalahan besar yang dilakukan oleh orang lain. Tanpa kepercayaan daripada orang yang dipimpin maka pimpinan itu telah kehilangan hampir 80% pengaruhnya.

Pengaruh itu terbentuk daripada:

1) 50%- personaliti

2) 30%- jawatan

2) 20%- unsur-unsur lain

Wasilah penyucian imej pimpinan berbeza mengikut waqi'.


Pada diri pimpinan tersebut:


1) Ciptakan perubahan yang mendadak pada personaliti dengan harapan kesilapan lalu dilupakan dan tak dibangkit oleh pihak bawahan. Maka orang lain akan memandang dirinya sebagai pimpinan yang baru.


2) Tambahkan nilai positif pada diri sekaligus akan mengurangkan unsur-unsur negatif kerana 2 perkara yang berlawanan tak akan bersatu pada diri seseorang pada satu masa.


3) Jika pimpinan itu di peringkat sekolah, manfaatkan peluang dengan bantuan guru-guru. Minta pertolongan daripada mereka agar dibersihkan imej kotor yang lalu.



Pada jamaah tersebut:


1) Ahli jamaah @ badan perlu memberi sokongan kepada pimpinan tersebut dan mempertahankan usaha pimpinan itu untuk membersihkan imej.


2) Kukuhkan ukhuwwah dan pengurusan jamaah serta baiki kelemahan yang ada. Usaha pembaikan ini bukan hanya menutup kelemahan jamaah tapi juga membantu pembaikan imej pimpinan tersebut.


3) Bina pengaruh baru di kalangan pihak bawahan agar golongan ini memahami asas-asas jamaah dan mampu menguasai fiqh aulawiyyat.



dan iringilah segala usaha tersebut dengan tawakkal (berserah kepada Allah) sama ada melalui doa, solat hajat dan lain-lain.

dipetik dari http://revolusisifalaki.blogspot.com/ 

 

Monday 11 April 2011

ENGKAU INGIN BERJUANG


Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang,
Tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,
Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang
Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan
Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan

Ya sebenarnya apa yang
Engkau hendak perjuangkan…
———————————————————————————–
RENUNGKANLAH
Apakah yang kita perjuangkan.
KITA, bukan KAU, bukan AKU.. tapi KITA.
Tidak layak untuk menunding jari, malah tidak langsung aku mahu menunding.
Marilah kita fikir mengenai perjalanan kita dalam jalan ini.
Lirik ini memang untuk kita. Kita fikirkanlah. Kita renungkanlah.

AMALAN SOLAT SUNAT DHUHA

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya yang bermaksud:-
Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya : " Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ."
( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )


Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab "An-Nurain" sabda Rasullullah Sallallahu 'alaihi Wasallam yang maksudnya : "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan."
(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu berkata :

"Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam berkata : "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas"
(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita'khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh 'Aisyah bermaksud :

"Adalah Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya."
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda bermaksud :
" Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,"
( Riwayat At-Thabarani )

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Faatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan rakaat kedua selepas membaca al-Faatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.