SEORANG sahabat Rasulullah SAW tiba di sebuah pasar. Orang ramai sibuk berniaga dan membeli-belah. Tiba-tiba beliau menyeru mereka: “Wahai manusia, mengapakah kalian tidak mengambil harta pusaka peninggalan Rasulullah SAW?”
Mereka pun bertanya: “Di manakah tempatnya harta itu?” Kemudian ditunjukkan tempat penyimpanan yang dimaksudkan iaitu masjid Rasulullah SAW. “Tidak ada yang kami temui kecuali orang yang sedang beribadat dan orang yang berkumpul di majlis ilmu.” Maka sahabat itu pun berkata: “Ilmu itulah harta peninggalan Rasulullah SAW!”
Sukakah anda mendapat harta pusaka Rasulullah SAW? Bukan emas dan permata, bukan istana, dan segala khazanah dunia. Tuntutlah ilmu! Bukan hanya ilmu agama, malah ilmu duniawi juga sama penting dan besar pahalanya di sisi Allah.
Rasulullah SAW dan sahabat Radiallahu ‘Anhum pernah belajar teknologi peperangan daripada Salman al-Farisi, ahli siasat perang dari Parsi. Baginda juga adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menjadi Rasul Allah.
Begitu juga Abu Bakar al-Siddiq, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin ‘Affan adalah pakar ekonomi yang banyak membantu dakwah di jalan Allah. Aisyah binti Abu Bakar Radhiyallahu ‘Anha pula menjadi rujukan penuntut serta Hafsah binti Umar seorang penulis dan pengumpul naskah Al-Quran.
Maka siapakah kita dengan ilmu yang ada? Apakah peranan kita untuk umat ini? Apakah ilmu yang kita miliki berkat, bermanfaat bagi diri, keluarga dan umat?
- Ilmu akan bertambah hebat akibat rasa takut kepada Allah.
Surah al-Faatir, ayat 28 menyebutkan: “Hanya yang takut kepada Allah, adalah ulama.” Keluasan ilmu Allah melahirkan manusia yang amat gerun kepada kekuasaan Allah.
Dengan ilmunya dia dapat mengetahui apa yang dibenci Allah dan apa yang disukai-Nya. Ini diadun dengan ilmu tentang kehebatan syurga Allah dan seksa neraka yang menjadi formula pembentuk sahsiah ulama pada dirinya.
Rasakan getaran hati anda, adakah ia begitu sensitif apabila berhadapan dengan keinginan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah? Jika di hati masih tersisa rasa takut kepada Allah, ilmu anda akan sentiasa bermanfaat untuk diri dan orang lain.
- Ilmu membentuk sifat tawaduk.
Jika ilmu semakin tinggi, keagungan dan kebesaran Allah menutup segala ego dan kesombongan yang membayangi diri.
Tidak sama sekali menganggap orang lain bodoh dan lemah. Kerana sehebat-hebat manusia tidak akan mampu menghadapi ujian yang diberi oleh Yang Maha Mengetahui melainkan dengan pertolongan-Nya.
Dengan bekal segulung ijazah itu bolehkah anda menghadapi hari penghisaban dengan selamat? Pakar motivasi sekalipun tidak akan mampu menanggung musibah yang diuji pada dirinya kecuali dengan pertolongan Allah. Sifat tawaduk seperti bintang yang berkilauan. Ilmu pula ibarat purnama. Kedua-duanya amat cantik jika dikembarkan menjadi hiasan peribadi.
- Ibadat bertambah nikmat kerana asas ilmu yang kukuh.
Sesungguhnya amal yang diterima memiliki dua syarat iaitu ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sabda Baginda ketika melihat seorang lelaki yang kurang betul sembahyangnya: “Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang.” Kerana itu, apa saja ibadat yang dilakukan wajib bersumber daripada sunnah Rasulullah SAW.
Cubalah mengerjakan ibadat dengan cara khusyuk seperti Rasulullah SAW khusyuk, berjuang seperti Baginda berjuang, berilmu seperti Baginda berilmu. Ilmu yang menggerakkan amal dan perjuangan untuk Islam.
- Ilmu di dada membentuk peribadi khalifah.
Islam mengajarkan konsep kepemimpinan yang berteraskan sifat amanah dan bertanggungjawab. Kalau ilmu anda berkat dan bermanfaat, tentunya kedua-dua sifat ini amat menonjol pada diri anda, tidak kira di rumah, pejabat atau dalam lingkungan masyarakat iaitu anda berdiri sebagai individu yang bermaruah.
Seorang guru agama yang mempunyai jiwa khalifah akan mencorakkan umat dengan ilmu dakwahnya. Manakala, seorang guru sentiasa sedia membantu muridnya tidak kira Muslim atau bukan Muslim kerana dorongan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: “Kamu semua adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya atas apa yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Anda adalah ketua bagi diri anda sendiri, isteri, anak, tempat di mana anda bekerja dan di dalam masyarakat.
- Bijak menyembuh penyakit dalam beramal.
Ilmu dan amal memang tidak boleh dipisahkan. Orang yang berilmu tidak akan berpuas hati dengan pencapaiannya. Dia akan sentiasa menimbang, meneliti, mencari-cari akan ketidaksempurnaan diri dan perbuatannya.
Penyakit orang berilmu adalah ujub manakala penyakit orang beramal biasanya riak.
Imam al-Nawawi memberi garis panduan bagi kedua-duanya. Beliau berkata: “Beramal kerana manusia adalah riak dan meninggalkan amal kerana manusia adalah ujub, ikhlas adalah engkau terlepas daripada kedua-duanya.”
- Cerdik mengenal dan mematahkan tipu helah syaitan.
Ilmu yang berkat adalah senjata yang paling digeruni oleh syaitan. Umar bin al-Khattab pernah melewati satu lorong kemudian beliau berjumpa Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya syaitan lari daripada laluan Umar, kerana takut kepadanya.”
Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Ia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya.
Benarkah apa yang dilakukannya atau salahkah jalan yang dilaluinya? Semuanya disebabkan ilmunya yang berkat dan bermanfaat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya.” (Hadis riwayat Imam al-Tabrani dan al-Baihaqi)
No comments:
Post a Comment